‘Tidak tahu di mana ayah ibu, mungkin dibunuh tentera Myanmar’, kata anak Rohingya

BANGLADESH, 23 Zulhijjah 1438H, Khamis – Ribuan kanak-kanak Rohingya tiba di Bangladesh bersendirian, tanpa ibu bapa atau ahli keluarga.

Mereka meredah hutan, paya dan sungai ketika melarikan diri dari rejim Myanmar yang terlalu kejam.

Lebih malang, ada antara mereka langsung tidak tahu di mana ibu bapa mereka berada ketika ini.

Mohammad Ramiz, berusia 12 tahun, kini hidup sendirian di kem pelarian sementara di Ukhia, Bangladesh, selepas kehilangan keluarganya yang dibunuh tentera Myanmar.

Katanya, dia terpaksa mengikut orang lain lari dari Rakhine kerana keadaan semakin terancam.

“Saya menyeberang sungai bersama pelarian dewasa. Saya makan daun dan air sungai, hanya itu yang ada,” katanya.

Seorang kanak-kanak lain, Abdul Aziz memberitahu, dia langsung tidak tahu berita mengenai ibu bapanya.

“Wanita dalam kumpulan pelarian dewasa bertanya di mana ibu bapa saya. Saya beritahu tidak tahu di mana mereka,” katanya.

Dilaporkan, ramai juga kanak-kanak yang sampai ke Bangladesh dengan kesan luka akibat tembakan serpihan peluru atau bom.

Kanak-kanak ini terpaksa menyaksikan sendiri ahli keluarga mereka dibunuh tentera Myanmar dan penduduk Buddha yang disahkan PBB sebagai pembunuhan beramai-ramai pembersihan etnik. -Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *