Tenggelamkah bahtera bangsa dek tragedi tahfiz?

PAPARAN masa pada Google Maps menunjukkan kelewatan selama 30 minit untuk jarak sejauh 1 kilometer. Kenderaan masih berpusu-pusu masuk ke Jalan Datuk Keramat Hujung. Mungkin mereka juga seperti kami suami isteri ingin melihat sendiri kawasan berlakunya tragedi menyayat hati tempoh hari.

Suasana semakin sesak apabila kenderaan mula menghampiri kawasan Pusat Tahfiz Darul Quran. Dari jarak 100 meter kami sudah boleh melihat bangunan pusat tahfiz yang terbakar. Lalu, rasa sayu dan pilu menyelinap ke lubuk hati sanubari mengenangkan apa yang dilalui anak-anak itu.

Dalam kenderaan yang bergerak perlahan itu, kami tidak putus-putus bersembang mengenai apa yang berlaku. Perihal kondisi rumah-rumah di kawasan ini yang berhimpit antara satu sama lain, jalan yang sempit dan berbukit-bukit. Pada kami mungkin menyukarkan usaha menyelamat sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Tertanya-tanya juga apa puncanya yang menyebabkan anak-anak di pusat tahfiz ini dikhianati sebegini. Kalau diikutkan, pusat-pusat pendidikan tahfiz sebegini amatlah dipandang tinggi oleh masyarakat. Mereka berusaha memelihara al-Quran dan melahirkan golongan alim ulama yang akhirnya membimbing masyarakat.

Dan, tak kurang juga waktu ini pusat-pusat tahfiz telah mampu melahirkan golongan profesional huffaz yang menjadi contoh kepada masyarakat.

Namun, akhirnya kelompok yang dipandang tinggi dengan nilai kebaikan dan dipelihara dari segenap segi ini juga tidak terlepas dari menerima akibat daripada kepincangan sosial yang berlaku. Ia mengingatkan kami mengenai satu perumpamaan yang disebut oleh Nabi SAW dalam satu hadis yang bermaksud:

“Perumpamaan orang yang berpegang dengan hukum-hukum Allah dan yang melanggarnya itu bagaikan kaum yang sama-sama menaiki kapal, sebahagian ada yang di atas dan sebahagian ada yang di bawah, orang-orang yang berada di bawah apabila ingin mengambil air mereka mesti melalui orang-orang yang berada di atas, lalu orang-orang yang di bawah itu berkata, seandainya kita lubangi (kapal ini) untuk memenuhi keperluan kita maka kita tidak akan mengganggu orang-orang yang ada di atas kita! Maka jika orang-orang yang di atas itu membiarkan kemahuan mereka yang di bawah, akan tenggelamlah semuanya, dan jika mereka menahan tangan orang-orang, yang di bawah, maka akan selamat, dan selamatlah semuanya. (HR. Bukhari).

Sahabat-sahabat yang saya muliakan,

Bagi kami, tragedi ini adalah contoh realistik kepada penterjemahan hadis yang disebutkan di atas. Kepincangan yang sedang berlaku dalam struktur sosial kita hari ini, akhirnya memberi kesan kepada semua yang berada di dalam lingkungannya tidak kira sehebat mana seseorang atau sesebuah institusi itu dipelihara.

Kita hidup di bahtera yang sama. Kita mungkin kelompok orang yang berada di bahagian atas bahtera. Kita terlupa untuk menjenguk, melihat dan mengambil berat kelompok -kelompok yang menghuni di bahagian bawah bahtera.

Kita hidup dalam bahtera yang sama. Kita pandai, tetapi kita membiarkan kelompok di bawah terus berada dalam kebodohan. Kita bahagia dengan kebaikan yang kita lakukan hingga kita lupa mencegah keburukan yang mereka kerjakan.

Kita hidup dalam bahtera yang sama. Namun, kita tidak mampu menegur anak-anak yang sedang merosakkan diri sendiri, tidak mampu mendekati anak-anak nakal yang kadang-kala menjadi mangsa kepincangan keluarga apatah lagi membimbing anak-anak yang tergelincir dalam memilih jalan hidupnya.

Perlahan kami meninggalkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, membawa bersama teguran Allah SWT yang amat dalam. Amal kebaikan dalam mengajak manusia ke arah kebaikan harus dirancakkan sekali gus usaha menyelamatkan anak-anak pewaris masa depan kita ini mesti digerakkan.

Beraksilah kita dalam apa jua platform, wasilah, jemaah atau NGO, surau, masjid, persatuan penduduk atau berdasarkan hobi dan minat seperti kelab berbasikal, kompang, seni lakon atau seni mempertahankan diri, sepakatkan usaha menegakkan kebaikan, satukan usaha mencegah kemungkaran. Inilah yang harus kita mulakan dan budayakan.

Saya bimbang suatu hari nanti jika ibu bapa sudah tidak mampu menegur si anak, guru dihalang daripada menegur si murid, ulama dikunci mulut dan tangannya, maka persiapkan lahad buat bangsa ini kerana itu barangkali petanda bahawa bahtera umat ini akan tenggelam bersama semua yang berada di dalamnya.

Salam Takziah dengan penuh kekesalan buat ibu bapa mangsa yang terlibat. Semoga Allah menggantikan ujian ini dengan perkara yang lebih baik di sisiNya.

Asmadi Abdul Samad
Timbalan Ketua Pemuda
Ikatan Muslimin Malaysia

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *