Tak usah cakap politik la kalau tak daftar sebagai pemilih

BALIK kampung sempena Aidiladha baru-baru ini, Pedang ambil peluang bersembang dengan jiran tetangga berkenaan mengundi dan pilihan raya. Sambil potong daging korban, Pedang terkejut bila ada yang kata ‘buat apa mengundi, kalau mengundi pun orang yang sama memerintah, tambah pula harga barang, minyak tetap naik’

Tergamam Pedang.

Ini bukan soal undi ‘siapa’. Ini berkenaan tanggungjawab. Bagi Pedang, sebagai rakyat Malaysia dia tidak layak mencemuh begitu. Jika mahukan perubahan sila lakukan sesuatu dengan mendaftar pemilih. Kemudian boleh mengundi. Pilihlah siapa yang dirasakan layak untuk mentadbir negara.

Bila daftar sebagai pemilih barulah layak untuk bercakap mengenai politik tanah air, mengenai pilihan raya, mengenai siapa akan mentadbir, mengenai subsidi padi, minyak, GST dan lain-lain. Kalau tak daftar jangan la pot pet pot pet… tak layak. Jadi, pergilah daftar.

Ingat! Anda tidak boleh mengundi sekiranya nama anda tidak disenaraikan dalam daftar pemilih.

Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, 3.7 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi belum berdaftar sebagai pemilih. Daripada angka itu saja jelas masih terlalu ramai yang belum ada kesedaran bahawa mengundi itu suatu kewajipan.

Kenapa perlu mengundi? Penting sangatkah? Ya, memang penting sebab kita yang akan membuat pilihan secara sedar parti politik dan pemimpin yang patut memimpin negara untuk jangkamasa lima tahun akan datang. Satu undi kita amat penting menentukan masa depan anak cucu cicit kita.

Pedang bersetuju dengan kata-kata Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, bahawa orang tidak berdaftar sebagai pengundi, tidak guna bercakap di media sosial berkaitan situasi politik negara, kalau apa yang dicakapkan itu tidak diterjemah dalam bentuk undi.

Betul, pung pang pung pang dalam Facebook, tak suka menteri ni, tak suka menteri sana, sakit hati minyak naik. Kalau dah tak suka sangat, baiknya daftar pemilih pergi mengundi. Ini pergi ‘meroyan’ dalam Facebook, tapi daftarnya tidak, buat apa.

Pedang juga suka dengan kenyataan pendakwah bebas, Prof Dr Muhaya Mohamad yang menegaskan bahawa, sekiranya kita tidak mengundi, orang yang tidak sepatutnya memegang kuasa pemerintahan akan mendapat kuasa itu.

“Apabila orang yang tidak layak mendapat kuasa, kita turut bertanggungjawab atas perkara itu kerana kita tidak menjalankan tanggungjawab kita sebagai pengundi. Islam menggalakkan kita bermusyawarah dalam kehidupan, mengundi adalah cara musyawarah peringkat global.”

Dengan kata mudah, mengundi adalah tanggungjawab serta hak kita sebagai rakyat Malaysia. Ia adalah amalan demokrasi yang telah diamalkan di negara ini sejak kita mengecapi kemerdekaan. Makanya, pilihan raya yang diadakan memberi peluang kepada setiap rakyat yang layak untuk memilih pemimpin.

Untuk itu, pergilah mendaftar, keluarlah mengundi kerana masa depan negara terletak di negara kita semua.

Nak mengundi pun, kena bijak pilih calon. Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) saban kali mengingatkan supaya nak pilih calon kena cari muslim berwibawa.

Ciri-ciri muslim berwibawa adalah daripada kalangan calon muslim yang menepati kriteria ditetapkan syarak seperti amanah dan kuat, berakhlak, seorang yang setia, mengutamakan perpaduan dan kesejahteraan rakyat serta tidak mendukung fikrah yang bertentangan dengan Islam seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme dan sebagainya.

Ayuh! Cepat daftar sebagai pemilih kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal menjelma, tak tahun ini tahun depan. Terpulang kepada anda untuk mengekal atau menukar pentadbiran Malaysia yang ada sekarang.

Kata Pedang: Sekarang waktunya buat rakyat Malaysia!

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *