Tak salah beri hadiah kepada pelapor rasuah: SPRM

BANGI, 22 Zulhijjah 1438H, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahan tindakan agensi itu memberi ganjaran berbentuk wang tunai kepada penjawat awam yang melaporkan kes rasuah.

Menolak kenyataan pihak tertentu yang tidak bersetuju, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, sebenarnya tidak salah pun untuk kita memberi ganjaran kepada mereka.

Katanya, SPRM berbuat demikian adalah sebagai penghargaan kepada kakitangan yang amanah.

“Jangan beri komen terhad kepada satu inisiatif seolah-olah itu saja usaha yang kita lakukan untuk cegah rasuah. Banyak lagi aktiviti dan kempen yang dilakukan SPRM, kena tengok secara keseluruhan.

“Salah ke kita bagi ganjaran kepada orang yang tolak rasuah? Kita beri penghargaan kepada orang yang bersih, kita pandang tinggi pada orang ini,” katanya.

Beliau berkata demikia dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) dan 3J (Jangan hulur, Jangan ‘kawtim’ dan Jangan ‘settle’) dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Terminal Bandar Tasik Selatan, hari ini.

Ganjaran yang dimaksudkan SPRM hanya diberikan dengan syarat, termasuk sekiranya kes itu disiasat dan tertuduh didakwa serta berjaya disabit kesalahan di mahkamah.

Insentif sama diperkenalkan kerajaan sejak 2011, bagaimanapun kurang mendapat sambutan.

Difahamkan, insentif ganjaran kepada pemberi maklumat atau saksi dalam kalangan penjawat awam yang melaporkan kes rasuah sejak 2011 itu hanya berjaya menarik 214 orang, membabitkan nilai wang RM384,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *