Suu Kyi tarik diri hadiri Perhimpunan Agung PBB

NEW YORK, 23 Zulhijjah 1438H, Khamis – Kaunselor negara Myanmar, Aung San Suu Kyi tidak akan menghadiri persidangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhir bulan ini di New York.

Jurucakap parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD), Aung Shin memberitahu pemberita, bahawa pemenang Anugerah Nobel Keamanan itu telah menarik diri daripada mesyuarat berkenaan yang dijadual pada 20 September ini.

“Dia tidak pernah takut berdepan kritikan atau masalah, mungkin lebih banyak perkaran di sini yang perlu dia selesaikan,” katanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang alasan atau sebab lanjut diberikan berhubung ketidakhadirannya itu.

Suu Kyi kini berdepan kritikan hebat daripada organisasi dan masyarakat antarabangsa ekoran insiden penindasan dan keganasan rejim Myanmar ke atas etnik minoriti Islam Rohingya.

Sehingga kini, Suu Kyi enggan mengulas atau mengambil sebarang tindakan untuk menangani penindasan terhadap Rohingya atau menghukum rejim negara itu.

Malah, dia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan sejak pertempuran terakhir berlaku pada 25 Ogos lepas.

Suu Kyi adalah penerima Anugerah Nobel Keamanan yang pernah memikat komuniti antarabangsa kerana perjuangannya untuk menegakkan demokrasi.

Dia kini berdepan kritikan hebat antarabangsa, malah sesetengah pihak sedang melihat sama ada Jawatankuasa Nobel, yang memberikan penghormatan kepadanya pada tahun 1991, akan mengkritiknya secara terbuka atau menarik balik penganugerahan itu.

Krisis Rohingya menjadi perhatian antarabangsa tidak hanya PBB dan organisasi hak asasi manusia malah negara-negara Islam dunia termasuklah Pakistan, Malaysia dan Turki.

Sejak insiden 25 Ogos lalu, kira-kira 370,000 penduduk Rohingya melarikan diri dari penindasan dan keganasan brutal rejim Myanmar di Rakhine.

Etnik minoriti muslim itu terpaksa hidup di bawah sekatan-sekatan sistem pemerintahan ras (apartheid) seperti pergerakan dan kewarganegaraan.

Gelombang kekerasan itu bermula pada Oktober lalu apabila kumpulan pejuang Rohingya menyerang pos keselamatan rejim Myanmar di sempadan.

Kejadian itu menjadikan Rakhine sebagai yang terburuk dan PBB menyifatkan rejim Myanmar mungkin cuba melakukan pembersihan etnik (jenayah genosid).- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *