Salah siapa budak 10 tahun merogol, pelajar adakan hubungan seks dengan 5 lelaki?

MEREMANG bulu roma membaca laporan berita ‘Kanak-kanak 9 tahun disyaki dirogol rakan usia 10, 11 tahun di kedai baja’. Allahuakbar! Mata tertumpu pada tajuk berita, namun penulis cuba membayangi bagaimana usia seawal itu sudah berdepan dengan dosa berkenaan.

Selak ke lampiran seterusnya, terpampang pula berita ‘Pelajar hamil seks dengan lima lelaki’. Sejuk tangan dan kaki untuk membaca lanjut berita itu. Takut, kecewa dan marah. Semua perasaan itu bercampur baur membayangkan keadaan sebegitu.

Apakah kes-kes sebegitu sekadar menjadi penghias dan pemenuh ruangan di dada akhbar? Di mana tindakan pihak bertanggungjawab? Siapa yang harus bertanggungjawab? Tidak cukupkah didikan agama sehingga keseronokan mengatasi segala-galanya?

Hari ini disiarkan, esok dilupakan dan dibiarkan. Lusa disiarkan lagi kes lain pula, juga akan turut dilupakan. Sampai bila kejadian seperti itu akan terus menghiasi kehidupan kita? Apakah sudah tiada lagi iktibarnya?

Peringkat usia remaja pastinya menjadi ‘zaman meneroka’ buat mereka, selain terdedah kepada sumber-sumber negatif yang sentiasa menjadi kerisauan ibu bapa.

Namun, kerisauan ini mula berubah selepas kes rogol membabitkan kanak-kanak usia 9, 10 dan 11 tahun, sebagaimana dilaporkan media 11 September lalu. Ia bermakna, penyakit sosial yang selama ini melingkari golongan remaja, sudah mula menular di peringkat awal usia kanak-kanak.

Apabila isu sebegini dibincangkan, pastinya kesalahan ditunding ke arah kemajuan teknologi hari ini, yang kononnya sebagai agenda merosakkan golongan muda.

Tidak dinafikan teknologi merentas sempadan hari ini menjadi antara penyumbang kepada pelbagai gejala sosial. Namun, platform berkenaan bukan 100 peratus bersalah, kerana ia hanyalah medium digunakan oleh mereka yang mempunyai akal fikiran.

Sinonimnya, masalah sebegini akan dikaitkan dengan peranan sesebuah institusi kekeluargaan dalam mengendalikan anak-anak daripada terjerumus ke kancah masalah sosial.

Statistik Kementerian Kesihatan pada tahun 2015 mendedahkan sebanyak 3,980 daripada remaja berusia 10 hingga 19 tahun mengandung anak luar nikah. Malah, kadar aktiviti seksual dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di negara ini sepanjang dua dekad lalu meningkat daripada 0.9 pada 1994 kepada 8.3 peratus pada 2012.

Meskipun ia bukan angka terkini, statistik dua tahun lalu memberi kita gambaran betapa seriusnya masalah sosial yang sedang menimpa golongan muda di negara ini.

Ibu bapa kini perlu lebih serius memainkan peranan mereka. Tidak hanya menyediakan perkara fizikal dengan menghantar mereka menerima pendidikan di sekolah, tetapi juga perlu membentuk persekitaran yang baik dalam institusi kekeluargaan.

Pembentukan sahsiah anak-anak pastinya bermula dari rumah, dan bagaimana ia dididik oleh ibu bapa sebelum terdedah dengan pelbagai corak manusia di luar.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui. Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu), dan sesungguhnya Allah di sisi-Nya pahala yang besar.” (al-Anfal:27-28)

Kerajaan juga perlu turut serta memainkan peranan, dalam melahirkan generasi muda yang bakal memimpin negara. Sekiranya ia dipandang enteng oleh kerajaan, saya kira agenda kerajaan menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50) takkan tercapai, dan akan lumpuh begitu sahaja.

Pembentukan generasi negara adalah sumber dalam memacu matlamat dan sasaran selama 30 tahun membentuk negara membangun dan maju dari sektor ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi. Kerajaan perlu lebih celik dan melihat sendiri generasi hari ini, supaya tidak kecewa di kemudian hari.

Athirah Huda Zalhe
Wartawan Ismaweb.net

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *