Perlis: 16 pusat pemindahan banjir ditutup setakat petang ini

KANGAR, 4 Muharram 1439H, Isnin – Keadaan banjir di Perlis semakin pulih dengan lebih ramai mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini, menyaksikan 16 pusat pemindahan ditutup setakat 4 petang ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perlis, kini hanya sembilan pusat pemindahan masih dibuka iaitu enam dalam Parlimen Kangar menempatkan 1,170 orang daripada 322 keluarga dan tiga dalam Parlimen Arau membabitkan 142 orang daripada 43 keluarga.

”Antara pusat pemindahan di Kangar ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong yang menempatkan 127 keluarga membabitkan 434 orang; SK Panggau (126 keluarga membabitkan 483 mangsa) dan SK Sri Perlis (40 keluarga membabitkan129 mangsa.

“Di Arau pula, di SK Kampung Serdang menempatkan tiga keluarga membabitkan 13 orang; SK Long Boh (22 keluarga membabitkan 79 orang) dan Dewan Orang Ramai Padang Petani (18 keluarga membabitkan 50 orang),” menurut kenyataan itu.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Abdul Najib Abdullah yang dihubungi Bernama berkata, paras air Empangan Timah Tasoh telah susut ke paras berjaga-jaga 29.60 meter daripada 29.98 meter.

“Pihak kami akan terus melepaskan air sehingga paras 29.20 atau 29.00. Jika hujan, kita akan lepaskan air sehingga 29.00. Pelepasan air ini tidak menyebabkan banjir kilat.” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *