Perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan (Bahagian 2)

Bahasa ini dengan segala cawangan dan pengajiannya .. walau macam mana miskin pun ialah bahasa pusaka kita, di dalamnya tersimpan roh dan semangat kebangsaan dan kebudayaan kita.” (Qalam, Oktober 1954)

Perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia, bukanlah perkara yang mudah. Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, serentak dengan itu, Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan 1957 telah menetapkan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi Persekutuan.

Tempoh 10 tahun selepas merdeka adalah tempoh yang sangat penting kerana bahasa Melayu ketika itu disaingi hebat oleh bahasa Inggeris. Lebih menyulitkan keadaan, pemimpin politik Melayu yang berjiwa anglophile sendiri menentang usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Mereka berpendapat, bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa yang rendah tarafnya jika hendak dibandingkan dengan bahasa Inggeris. (Rujuk artikel Bahagian 1)

Tidak hairanlah pada ketika itu, pemimpin-pemimpin dalam Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS) keluar beramai-ramai daripada UMNO sebagai tanda protes, kerana tuntutan mereka tidak dipenuhi kerajaan Perikatan pada tahun 1958. Kerajaan Perikatan berlengah-lengah untuk mewujudkan kelas menengah aliran Melayu. Pada masa itu, KPGMS mempunyai kira-kira 10,000 orang ahli dan 80% daripadanya merupakan ahli UMNO.

KPGMS menuntut agar kerajaan mencari jalan bagi meninggikan kedudukan bahasa Melayu hingga dapat digunakan sebagai bahasa kebangsaan, iaitu memperjuangkan bahasa Melayu supaya diterima menjadi bahasa yang terkemuka di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka juga menuntut agar satu tingkatan sekolah Melayu ditubuhkan yang membolehkan penuntutnya melanjutkan pelajarannya sehingga ke Universiti Melayu, yakni mengadakan satu susunan pelajaran Melayu yang berbau Melayu. Walaupun begitu tuntutan mereka tidak didengari dan diambil secara sambil lewa oleh kerajaan perikatan.

KPGMS merupakan antara pelopor awal yang memperjuangkan isu dan hak Bahasa Melayu, bersama dengan persatuan-persatuan seperti Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50), Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM), penubuhan Persaudaraan Sahabat Pena Singapura (PASPAS). Penubuhan itu diikuti dengan penubuhan Lembaga Bahasa Melayu [di Singapura], Ikatan Persuratan Melayu [di Melaka], Angkatan Sasterawan Utara Malaya [di Pulau Pinang], Lembaga Pembangun Bahasa Melayu [ di Kedah], Lembaga Pembangun Sastera [di Perak], Angkatan Sasterawan Negeri [di Negeri Sembilan) dan banyak lagi.

“… dalam Malaya merdeka sekarang tentulah bahasa Melayu pun sepatutnya merdeka juga, yakni tidak termesti dihadkan gunanya dalam hal rendah rendah dan soal-soal bercakap akan perkara-perkara yang orang Melayu biasa sahaja seperti yang sudah-sudah. Sebaliknya, setelah Malaya merdeka ini patutlah Bahasa Melayu dilayakkan dari selangkah ke selangkah bagi penggunaan lebih maju, lebih besar dan lebih tinggi pula, seperti jadi alat mengajarkan pelajaran-pelajaran dan ilmu pengetahuan yang lebih luas dan mendalam dan menjadi bahasa menjalankan kerja kerja pentadbiran dan pemerintahan negeri dan juga menjalankan kerja kerja kehakiman. (Dewan Bahasa September 1957)

Menurut satu artikel Jurnal tulisan Sharifah Darmia Sharif Adam berjudul, Perjuangan dan Cabaran Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan, 1957-1966, belia berkata:

Dalam tempoh masa antara 1957 sehingga 1966 terdapat dua pilihan raya yang berlangsung di Tanah Melayu iaitu pilihan raya pada tahun 1959 dan pilihan raya pada tahun 1964. Isu bahasa kebangsaan dalam pilihan raya umum 1959 dan 1964 seringkali dieksploitasi oleh pemimpin-pemimpin politik sebagai manifesto kempen-kempen mereka bertujuan untuk memancing undi rakyat.”

Reaksi orang bukan Melayu dan parti-parti pembangkang mengenai isu bahasa juga dapat dilihat dalam pilihan raya umum 1959. Walaupun Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dengan jelas telah menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara ini. Namun, ahli-ahli politik bukan Melayu khususnya orang Cina dengan lantang dan terbuka mempersoalkan serta menentang kedudukan bahasa Melayu. Pada April 1959, kaum Cina telah mendesak supaya MCA memainkan peranan untuk menyalurkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap Laporan Penyata Razak. Ini disebabkan orang Cina menganggap Laporan Penyata Razak tersebut tidak adil kerana hanya mewajibkan bahasa Melayu di sekolah Melayu dan bahasa Inggeris di semua jenis sekolah.

Oleh itu, mereka menuntut supaya penggunaan bahasa Cina (Kou Yu) dilaksanakan di sekolah. Tuntutan ini dikemukakan oleh dua pertubuhan iaitu, United Chinese School Teacher Association dan All Malay Chinese School Manegement Association. Di samping itu, parti politik pembangkang seperti Parti Barisan Sosialis dan Parti Buruh tetap berdegil mengemukakan tuntutan mereka untuk menjadikan bahasa Cina dan bahasa Tamil sebagai bahasa rasmi.

Alasan yang diberikan oleh mereka adalah kenyataan bahawa negara ini terdiri daripada penduduk yang mempunyai berbagai-bagai bahasa di samping jumlah penduduk tempatan dan orang luar yang hampir sama banyak. Kesemua ini dijadikan manifesto yang wajib kepada setiap parti yang ingin menarik pengundi bagi kemenangan dalam pilihan raya 1959 itu.

Selain itu, reaksi orang bukan Melayu melalui parti politik dan pertubuhan yang mewakili mereka juga dapat dilihat melalui tuntutan supaya bahasa Cina dan bahasa Tamil digunapakai sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam peperiksaan di sekolah Cina dan Tamil.

Sebagai contohnya, Parti Buruh begitu lantang membuat tuntutan agar bahasa Cina dan bahasa Tamil dijadikan bahasa pengantar di sekolah menengah. Sementara itu, D.R. Seenivasagam yang merupakan Setiausaha Agung Parti Progresif Rakyat telah membangkitkan persoalan mengenai bahasa kaum lain seperti kaum Cina yang tidak diberikan taraf rasmi sedangkan terdapat 2 juta penduduk Cina di Tanah Melayu.

Parti ini juga menuntut supaya bahasa Cina dan bahasa Tamil dijadikan bahasa rasmi di samping bahasa kebangsaan serta bahasa pengantar di sekolah ibunda masing-masing. Kesemua tuntutan ini benar-benar mewujudkan suasana tegang dan dingin antara kaum Melayu dan kaum bukan Melayu seterusnya menghalang usaha pengembangan bahasa kebangsaan.

Hal ini telah menimbulkan rasa tidak selesa orang Melayu dan orang Melayu daripada pelbagai latar belakang dan persatuan berganding bahu untuk mendaulatkan bahasa Melayu daripada terus terkubur. Individu-individu tersebut terdiri daripada golongan intelek, pegawai kerajaan, peguam, pensyarah universiti, guru dan penulis.

Sementara itu, pertubuhan yang terlibat pula terdiri daripada parti politik, pertubuhan pelajar seperti Persatuan-persatuan Pelajar Maktab Perguruan Bahasa, kesatuan guru, persatuan penulis, akhbar dan majalah serta sebuah pertubuhan khas yang ditubuhkan untuk mendesak kerajaan supaya melaksanakan dasar bahasa. Kemunculan individu dan pertubuhan-pertubuhan yang bergiat aktif dalam kegiatan berhubung bahasa kebangsaan boleh dikatakan kesan daripada sikap golongan tertentu dalam kalangan orang Melayu dan orang bukan Melayu yang terus-terusan mempertahankan kedudukan bahasa Inggeris, bahasa Cina mahupun bahasa Tamil. Sedangkan golongan ini sendiri menyedari hakikat bahawa pengangkatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi negara ini merupakan sebahagian daripada perjanjian kemerdekaan yang telah dipersetujui bersama. Perkembangan yang tidak sihat ini telah mewujudkan kegusaran di hati para pejuang bahasa Melayu yang jelas kurang senang dengan situasi itu.

Antara usaha individu dalam mengembang dan memperluaskan penggunaan bahasa kebangsaan misalnya dapat dilihat melalui surat yang ditulis oleh Ustaz Zulkifli Muhammad, Pengetua Kolej Islam Malaya (KIM) pada tahun 1957. Surat tersebut dihantar kepada Za’ba yang memegang jawatan Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Singapura bertujuan untuk memohon silibus subjek bahasa Melayu yang diajar di jabatan tersebut. lsi kandungan surat tersebut berbunyi:

Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa dalam susunan pelajaran kolej ini adalah menjadikan bahasa Melayu sebagai satu matapelajaran yang penting. Maka bagi memuktamadkan butir-butir pengajian Melayu, di sini besarlah harapan saya jika tuan bermurah hati mengirimkan susunan pelajaran bahasa Melayu yang dipakai di bidang tuan satu-satunya. Tujuan mengajarkan bahasa Melayu, bukan semata-mata bagi mendalamkan kajian itu pada penuntut-penuntut baik juga untuk memberi sumbangan ilmiah bagi perkembangan bahasa itu sendiri.”

Surat ini menunjukkan bahawa terdapat usaha daripada Pengetua Kolej Islam Malaya untuk memperluaskan penggunaan bahasa kebangsaan di kolej tersebut. Malahan apa yang lebih menarik di kolej inilah tertubuhnya sebuah persatuan yang dinamakan sebagai Persatuan Penuntut-penuntut Kolej Islam Malaya (PPKIM) pada Julai 1957.

PPKIM merupakan sebuah persatuan yang terlibat secara langsung dalam kegiatan memperjuangkan kedudukan bahasa kebangsaan. Perjuangan persatuan ini untuk mempertahankan bahasa kebangsaan mencapai kemuncaknya pada tahun 1967 apabila pelajar-pelajar KIM di Petaling laya telah mengadakan demonstrasi seterusnya menyebabkan KIM terpaksa ditutup.

Sementara itu, antara pertubuhan-pertubuhan orang Melayu yang aktif dalam menjalankan kegiatan yang bersabit dengan bahasa dan merupakan pertubuhan yang menyatakan objektifnya sebagai pertubuhan yang secara tegas memperjuangkan dasar bahasa negara ialah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Pertubuhan khas yang dikenali sebagai Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK).

PBMUM dalam usaha mengembangkan bahasa kebangsaan telah memberi reaksi terhadap ucapan Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia) mengenai bahasa pada 21 Oktober 1966. Dalam ucapan tersebut, Tunku telah menyatakan bahawa kerajaan bersedia menggunakan secara liberal bahasa lain sekiranya orang ramai mempunyai sikap yang betul dan pendekatan yang wajar. Selain itu, beIiau juga menyatakan bahawa bahasa Inggeris penting dan sekiranya bahasa Inggeris digantikan seluruhnya dengan bahasa kebangsaan, pentadbiran akan menjadi kucar-kacir.

Kenyataan Tunku ini menyebabkan PBMUM mengadakan persidangan tergempar pada 24 Oktober 1966. Hasil persidangan tersebut, satu penulisan yang mengkritik kerajaan bertajuk “Dasar Liberal Tungku dan Super-Liberal Khir (nama Menteri Pelajaran ketika itu)” telah diterbitkan melalui Suara PBMUM pada bulan November 1966. Tulisan ini antara lain menggesa supaya kerajaan memberikan peluang kepada bahasa kebangsaan untuk memainkan peranan sebagai alat perhubungan dan alat perpaduan nasional serta meminta supaya persaingan daripada bahasa lain dilenyapkan. PBMUM cuba menggunakan hasil penerbitannya sebagai altematif untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan.

Seterusnya, PENA pula merupakan sebuah badan penulis yang ditubuhkan pada 12 Februari 1961 dengan tujuan untuk mengembangkan lapangan bahasa, kesusasteraan dan ilmu pengetahuan bersesuaian dengan kepentingan-kepentingan nasional dengan tidak terikat kepada dasar politik kepartian atau terkeluar daripada bidang undang-undang negara. Ini jelas menunjukan peranan aktif yang dimainkan oleh PENA dalam hal bersabit bahasa dan kesusasteraan. Selain itu, PENA juga terlibat secara aktif dalam memperjuangkan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pelajaran kebangsaan.

Sementara itu, BBBK telah ditubuhkan pada 7 lulai 1964 khusus untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal menjelang tahun 1967. Dua tujuan lain penubuhannya ialah melaksanakan kehendak-kehendak Perlembagaan negara sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152 dan menimbulkan semangat cinta dan semangat perjuangan terhadap bahasa kebangsaan.

Selain itu, antara tokoh yang lantang memperjuangkan Bahasa Melayu adalah Za’aba. Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi negara ini dapat dilihat melalui pendapat Za’ba dalam tulisannya bertajuk “Bahasa Kebangsaan Malaya Sa-Lepas Merdeka”.

Dalam tulisan tersebut, Za’ba telah memberikan enam sebab mengapa bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Sebab-sebab tersebut ialah:

i) Tanah Melayu ialah negeri orang Melayu
ii) Bahasa Melayu ialah bahasa tulen negeri ini
iii) Bahasa Melayu adalah bahasa perantaraan negeri ini
iv) Bahasa Melayu adalah bahasa yang hidup dan berkembang mengikut peredaran zaman
v) Bahasa Melayu telah menjadi bahasa republik Indonesia dan
vi) Bahasa Melayu adalah bahasa yang mudah

Kesimpulan

Perjuangan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu bukanlah perkara yang mudah. Tentangan yang dihadapi oleh pejuang-pejuang bahasa bukan sahaja datang dari luar tetapi juga dari dalam. Pemimpin-pemimpin elit Melayu yang berjiwa anglophile lebih rela bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa kebangsaan. Tuntutan demi tuntutan oleh kaum Cina dan India juga menyukarkan proses untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Generasi pada hari ini seharusnya berbangga dan mempertahankan bahasa Melayu serta menyokong usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di dunia. Sehingga menjadi lingua franca seperti yang ditempa oleh datuk nenek kita dahulu.

p/s: Tulisan ini mengambil sebahagian besar rujukan dan kata-kata penulis dalam jurnal yang ditulis oleh Sharifah Darmia Binti Sharif Adam berjudul Cabaran Dan Reaksi Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Dalam Bidang Pentadbiran Dan Pendidikan di Malaysia, 1957–1966. Jurnal ini diterbitkan di laman Elsevier. Penulis hanya mengolah dan menyusun fakta-fakta yang diberikan dalam satu bentuk naratif penceritaan.

Asyraf Farique
Penganalisis IRIS Institute

BACA ARTIKEL BAHAGIAN SATU:

Perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan (Bahagian 1)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *