Pengarah Kastam kata mustahil untuk mansuh GST laksana SST

BANGI, 22 Zulhijjah 1438H, Rabu – Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam menegaskan, adalah mustahil melaksanakan semula sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan.

Katanya, tidak ada mana-mana negara yang kembali kepada cukai asal, selepas melaksanakan GST.

Sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad mengesyorkan cukai jualan dilaksanakan semula kerana penting untuk meminimumkan impak akibat penurunan pendapatan daripada GST ke atas kewangan kerajaan.

“GST menggantikan cukai jualan, jadi jika kita memansuhkan GST kita mesti laksanakan semula cukai jualan. Semua proses kerajaan perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat. Sekiranya kamu tiba-tiba memansuhkan GST, dan kamu tidak mempunyai sumber pendapatan, ini adalah buruk bagi kerajaan,” kata Tun Mahathir.

Menolak cadangan bekas perdana menteri itu, Subromaniam berkata, tindakan untuk memansuhkan GST adalah langkah mustahil, dan tidak pernah dilakukan mana-mana negara di dunia ini.

Katanya, dalam ucapan Bajet 1989, Tun Daim Zainuddin yang ketika itu Menteri Kewangan, memaklumkan bahawa pengurangan dalam cukai langsung yang dicadangkan akan membawa kepada kerugian besar dalam pungutan cukai.

“Ada lagi beberapa ucapan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1993 dan kita akan edarkan dan boleh didapati dalam laman sesawang JKDM yang boleh dibaca sendiri rakyat Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *