Pelancong China dibekalkan buku garis panduan demi ketenteraman rakyat Singapura


HONG KONG, 3 Muharram 1439H, Ahad
– Ketika kehangatan perdebatan dalam isu pesta arak yang jelas mengganggu ketenteraman awam di negara kita, pelancong-pelancong dari China diperkenalkan dengan peraturan ketat apabila melawat Singapura.

Mereka dibekalkan buku panduan setebal hampir 30 muka surat yang mengandungi senarai pelbagai perkara yang boleh dan dilarang dilakukan di negara kecil itu.

South China Morning Post melaporkan, antara garis panduan itu ialah ‘hendaklah memberikan tip kepada pembantu hotel yang mengangkat beg ke bilik anda’ dan ‘berikan bayaran dalam bentuk tunai’, merujuk kepada sikap pelancong China yang tidak memberikan tip.

Mereka juga diingatkan supaya menggunakan laluan khas untuk melintas jalan, jika tidak mereka boleh didenda.

Difahamkan lebih 1.5 juta pelancong China datang ke Singapura dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini.

Bagaimanapun, dengan pertambahan jumlah pelancong terutama di Lion City, pelbagai masalah timbul berkaitan sikap dan keselamatan peribadi dan perkara ini telah ditulis di laman web kedutaan.

Garis panduan juga menyebut bahawa barangan dalam kapal terbang seperti jaket dan selimut tidak dibenarkan untuk dibawa keluar daripada pesawat.

Pada tahun 2013, sekumpulan pelancong China dari wilayah Zhejiang telah menggemparkan dunia apabila cubaan mereka membawa keluar 30 set sudu dan garpu besi daripada pesawat Singapore Airlines digagalkan.

Pelancong China juga diingatkan supaya menjaga kelakuan di tempat awam dan tidak memotong garisan apabila berbaris untuk membeli dan menggunakan tandas.

Selain itu, memakan buah durian dalam kenderaan awam seperti bas dan keretapi juga tidak dibenarkan kerana mengganggu orang lain.

Pegawai kedutaan berkata, buku panduan itu disediakan bagi membantu pelancong China memperbaiki imej mereka.

Pelancong China berbelanja paling banyak di Singapura pada tahun lepas, iaitu berjumlah 3.5 bilion dolar AS. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *