Orang waras jadi bingung Najib bantu Amerika: Idris Ahmad

BANGI, 23 Zulhijjah 1438H, Khamis – “Semua orang yang waras menjadi bingung. Negara kecil bantu negara besar. Ini satu perkara pelik di dalam dunia,” kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Malaysia akan membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dengan melabur lebih RM29.4 bilion, beliau dalam satu kenyataan hari ini, berkata:

“Malaysia sudah kayakah? Kalau kaya sudah tentu 49.9 peratus saham Proton tidak dijual kepada syarikat Zhejiang Geely China. Sudah tentu IPP juga tidak dijual kepada orang. Projek kereta api Pantai Timur tidak dimajukan oleh syarikat daripada China.

“Kalau sudah kaya sangat tidak adalah rungutan daripada DS Najib Tun Razak, jika tidak ada GST,maka negara akan bankrap. Hutang 1MDB, masih tidak selesai.

“Pelajar-pelajar cemerlang tidak lagi dihantar ke luar negara seperti dulu. Semua jabatan kerajaan merungut kerana kekurangan bajet. Hospital kerajaan juga mengalami masalah yang sama.”

Najib ketika pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden AS, Donald Trump, di Washington DC, semalam mengumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad merancang meningkatkan pelaburan mereka di AS dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu.

Bernama melaporkan, Najib berkata, KWSP sahaja dijangka melabur antara AS$3 bilion (RM12.6 bilion) dan AS$4 bilion (RM16.8 bilion) di negara tersebut.

“Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS,” kata Najib.

Ustaz Ahmad juga mempertikaikan sama ada hasrat membantu ekonomi AS itu dibuat atas nasihat Jawatankuasa Pelaburan KWSP atau kehendak Najib sendiri.

Katanya, jumlah pelaburan KWSP itu bukannya satu angka yang kecil, sedangkan banyak lagi tempat di mana agensi itu boleh melabur di dalam negara.

“Bermula tahun ini, 2600 doktor pelatih hanya diletakkan status kontrak. Semua ini apa petandanya? Wang pula daripada lubuk emas iaitu KWSP. KWSP adalah tabung nyawa yang sering diguna oleh kepimpinan kerajaan BN, termasuklah zaman Tun Dr Mahathir sendiri. Sedangkan ini tabung simpanan hari tua. Pekerja dan majikan pula wajib menabung seperti wali mujbir.

“Nampaknya tidak serik-serik lagi, Malaysia dengan Amerika Syarikat. Sebelumnya beratus juta hangus apabila TPPA dibatalkan oleh Trump,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menuntut KWSP menjelaskan kepada agensi itu tidak menggunakan wang berkenaan untuk dilabur dalam pembinaan infrastruktur negara sendiri seperti lebuh raya menyambungkan Kota Bharu ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang.

Mengenai Khanazah Nasional yang akan meningkatkan pelaburan di dalam syarikat teknologi tinggi di AS, beliau turut mempertikaikan kenapa peruntukan kepada universiti dipotong di dalam bajet, sedangkan kerajaan mempunyai wang untuk melabur di AS.

“Bukankah lebih baik memberi peluang kepada rakyat sendiri untuk membina syarikat teknologi tinggi sendiri,” katanya.

Rakyat tertekan kos sara hidup, KWSP dan Khazanah pula rancang labur RM29.4b di Amerika

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *