Menginap di hotel presiden AS keputusan peribadi Najib, bukan White House

WASHINGTON, 22 Zulhijjah 1438H, Rabu – Pejabat pentadbiran Amerika Syarikat, White House menafikan menjalin sebarang perjanjian dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak untuk menginap di Trump International Hotel dalam rangka lawatan kerjanya di AS semalam.

Setiausaha akhbar White House, Sarah Huckabee Sanders memberitahu pemberita, tiada usaha yang dibuat untuk hotel presiden AS itu dijadikan penginapan utama Najib, sebaliknya ia hanyalah keputusan peribadi perdana menteri berkenaan.

Najib dilaporkan menginap di Trump International Hotel di Pennsylvania Avenue.

“Saya tidak pasti ianya berlaku. Saya tidak tahu bahawa perkara itu pernah dibincangkan.

“Kami pastinya tidak menempah penginapan hotel mereka, jadi saya tidak boleh bercakap, dan ia keputusan peribadi mereka mengenai penginapan mereka di sini,” kata Sanders.

Trump menjemput Najib ke White House bulan lalu, meskipun Jabatan Kehakiman (DoJ) AS sedang giat menjalankan siasatan berhubung skandal membabitkan syarikat pelaburan sarat hutang milik kerajaan Malaysia, 1MDB.

Ogos lalu, media antarabangsa melaporkan bahawa pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dilapor sudah memulakan siasatan jenayah terhadap penyalahgunaan dana 1MDB.

Menurut laporan, dokumen mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) menunjukkan AS sedang mempergiatkan siasatan di seluruh dunia bagi mengesan wang 1MDB yang diseleweng untuk membeli hartanah mewah dan lukisan serta dilaburkan dalam produksi filem dan banyak lagi.

Dalam saman sivilnya, DoJ mendakwa antara 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB dipindahkan oleh pegawai atasan dana itu dan sekutunya.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan yang didakwa dirompak daripada 1MDB dan dituntut DoJ untuk disita ialah AS$4.5 bilion.

DoJ kali pertama memfailkan saman pada Julai 2016 untuk merampas kira-kira AS$1 bilion (RM4.4 bilion) aset dipercayai dibeli dengan wang diselewengkan daripada 1MDB.

Antaranya ialah karya seni dan hartanah di New York dan Los Angeles. Ia merupakan kes terbesar menerusi Inisiatif Penyitaan Aset Kleptokrasi (KARI) jabatan itu.

Kelmarin, Sanders memaklumkan bahawa pertemuan di antara Trump dan Najib tidak akan mempengaruhi serta menjejaskan siasatan DoJ berkaitan skandal itu.

Katanya, pertemuan di antara dua pemimpin itu akan menumpukan kepada pelbagai isu serantau dan keselamatan.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *