Lintar pintas dipercayai punca pusat tahfiz terbakar

KUALA LUMPUR, 23 Zulhijjah 1438H, Khamis – Kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung awal pagi  yang menyebabkan 24 pelajar dan guru maut, dipercayai berpunca daripada litar pintas premis itu.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur, Abu Obaidad Mohamad berkata, ia dipercayai berlaku di bahagian tengah di bilik asrama pelajar, berdekatan dengan pintu keluar masuk berdasarkan kepada keadaan mayat ketika ditemui.

“Forensik kita percaya ia berlaku betul-betul di pintu masuk, kerana kebakaran berlaku di tengah. Mangsa cuba lari di kiri dan kanan, bukan menghala ke pintu.

“Mangsa juga dipercayai cuba melalui tingkap, namun keadaan berpagar menyebabkan mereka gagal untuk keluar,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah mengerahkan 48 anggota dengan lima buah jentera bomba ke tempat kejadian, selepas menerima panggilan sekitar jam 5.41 pagi tadi.

Katanya, pihak bomba berjaya mengawal api sekitar jam 6.15 pagi, dan operasi memadam tamat pada jam 6.45 pagi.

“Apabila masuk ke dalam bilik asrama tersebut, terdapat longgokan mayat bertindih di bahagian kanan dan kiri bilik asrama pelajar di tingkat tiga bangunan itu.

“Kita dapati kira-kira 24 ke 25 orang mangsa rentung dalam kebakaran itu. Bahagian tingkat dua premis 100 peratus musnah,” katanya.

Jelasnya, punca sebenar kejadian akan dimaklumkan kemudian sebaik siasatan mengenainya selesai.

Malah, bomba tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan satu suruhanjaya khas bagi menyiasat punca kebakaran memandangkan bilangan korban yang tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *