Kerajaan mesti bertegas dengan semua jenis pesta maksiat

SELEPAS pesta arak, kini heboh pula penganjuran tarian gay yang dikatakan terbesar di dunia yang dirancang untuk diadakan di Kuala Lumpur pada 30 September. Penganjuran ini perlu dibantah tegas oleh semua pihak kerana bertentangan dengan ajaran Islam sebagai agama negara, sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 perlembagaan persekutuan.

Perkara ini hanya heboh sejak dua tiga hari ini. Kita jangkakan mereka cuba anjurkan secara senyap-senyap kerana penganjur tahu jika diketahui oleh umat Islam, bantahan akan datang bertali arus. Maknanya, mereka sedar bahawa acara ini amat bersalahan dengan adat dan budaya timur masyarakat Islam dan rakyat Malaysia.

Kita mencadangkan, seluruh umat Islam menyatakan bantahan mereka beramai-ramai di seluruh media sosial dan lain-lain medium bersesuaian untuk menghantar mesej yang jelas kepada pihak berwajib. Kita tidak pernah mengalu-alukan penganjuran pesta maksiat seperti ini di Kuala Lumpur, ibu negara yang dicintai ini. Kita bimbang, bala Allah akan datang jika tidak disekat dan bala dari Allah, jika ia datang bukan hanya kena kepada mereka yang mempromosi dan melakukan maksiat, malah meliputi sekalian yang lain.

Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat yang 25 : “Dan peliharalah diri kamu daripada dosa (yang membawa bala bencana) bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim (melakukan dan menganjurkan dosa kemaksiatan tersebut) di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksaNya.”

Kita percaya, semua pemimpin Islam kita beriman dengan seluruh ayat-ayat Allah termasuklah ayat ini. Maka bertindaklah segera mengbatalkan program ini dan mendidik masyarakat kembali kepada Islam yang sebenarnya.

Jika kerajaan berfikir pihak penganjur akan mengalami kerugian kerana semuanya telah sedia untuk dianjurkan, biar ini menjadi pengajaran bahawa penganjuran buat mereka. Pihak penganjur itu perlu sedar bahawa acara sebegini tidak diterima selamanya di Malaysia. Untuk mengelakkan kerugian akan datang, mereka disarankan tidak lagi merancang untuk melaksanakannya lagi di negara ini selama-lamanya.

Kita juga menyarankan semua pihak institusi agama, jabatan kerajaan dan NGO perlu terus menjalankan kesedaran tentang bahaya budaya hedonism dan bahaya gerakan untuk merekrut anak-anak muda Islam menolak kehidupan beragama termasuk mengamalkan LGBT. Kehidupan tidak beragama atau bebas mentafsirkan agama mengikut hawa nafsu inilah yang cuba dipromosikan dengan begitu bersungguh-sungguh oleh musuh Islam khususnya di kalangan golongan atheis dan liberal.

Kita pun tidak faham mengapa Malaysia sejak akhir-akhir ini menjadi sasaran untuk menjadi tuan rumah acara kemaksiatan terbesar peringkat dunia. Jawapan yang sampai di fikiran kita; mungkin inilah usaha berterusan untuk mencairkan masyarakat dari kehidupan Islam. Ini sangat membimbangkan.

Golongan LGBT yang ingin kembali ke pangkal jalan ada caranya dan kita mengalukan mereka. Namun, menganjurkan majlis pesta maksiat seperti ini mesti di halang ke akar umbinya. Siapa yang terlibat perlu ditahan dan disiasat, sebagaimana dulu mereka cuba juga menganjurkan majlis berbuka puasa sesama gay, namun tiada tindakan pun kepada penganjur acara tersebut.

Ustaz Omar Kassim
Pengerusi Biro Islamiyat Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *