[KEMASKINI] 24 pelajar, guru maut kebakaran pusat tahfiz di Keramat

KUALA LUMPUR, 23 Zulhijjah 1438H, Khamis – Polis mengesahkan 24 pelajar dan tenaga pengajar maut dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5 pagi itu mengorbankan 22 pelajar dan dua orang guru.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang terkorban ditemui dalam dalam keadaan saling bertindih berhampiran pintu di tingkat tiga premis berkenaan.

Katanya, kesemua mangsa pelajar adalah lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun, manakala guru berumur sekitar 30-an.

“Bomba menerima panggilan mengenai kejadian jam 5.41 pagi tadi, dan kebakaran berjaya dipadamkan dalam masa satu jam sahaja.

“Api dipercayai berlaku di kawasan berhampiran dengan pintu keluar masuk di tingkat tiga bangunan itu, menyebabkan mereka terperangkap.

“Hanya 14 pelajar dan empat guru yang berjaya menyelamatkan diri, namun empat di antara mereka kritikal,” katanya kepada pemberita, sebentar tadi.

Amar Singh berkata, mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Setakat ini, punca kejadian masih disiasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *