Kata Pedang: Jom ke kedai dobi khas untuk orang Islam

Memang bagus menjaga kesucian tapi Islam itu mudah, tidak menyusahkan

ALHAMDULILLAH! Pedang ucap tahniah dan selamat maju jaya kepada pemilik kedai dobi layan diri di Muar, Johor kerana polisinya yang mengkhususkan kepada pelanggan Islam sahaja.

Apa yang dilakukannya kerana Islam dan semoga Allah memberi ganjaran kepadanya kerana mementingkan kesucian pakaian yang berkait rapat dengan sah atau tidak ibadah umat Islam.

Patutnya, pengusaha-pengusaha kedai dobi beragama Islam yang lain mencontohi langkah itu, demi menjaga kebersihan pakaian menurut Islam. Selain, tanggungjawab kepada Islam dan umatnya. Bukan mengejar untung semata-mata.

Sementelahan isu itu mendapat perhatian ramai, selepas didedahkan akhbar, Pedang nasihatkan umat Islam, terutama yang masih bujang atau sudah berkeluarga supaya memilih kedai dobi yang khas untuk orang Islam sahaja, jika mahu mencuci pakaian.

Bukan apa. Bukan macam apa puak-puak tertentu yang mahu menjadikan langkah pemilik kedai di Muar itu sebagai isu perkauman.

Tambahan pula, media liberal suka mengambil peluang isu-isu begini bagi menonjolkan umat Islam sebagai ekstrem dan mendiskriminasi orang bukan Islam, sedangkan umat Islam hanya mahu mengamalkan ajaran Islam sebenar, iaitu menjaga kesucian pakaian adalah antara perkara besar yang dituntut agama. Untuk beribadah, pakaian mestilah suci daripada sebagai kotoran dan najis.

Bagi Pedang, dalam permasalahan fiqh, isu sebegini perlu ditangani sebaiknya. Islam itu mudah dan tidak menyusahkan umatnya.

Memang benar kita perlu menjaga kebersihan dan kesucian pakaian, tapi tidaklah sampai perlu mengasingkan antara pengguna Islam dan bukan Islam. Ini kerana perkongsian mesin basuh tidak membawa apa-apa masalah dari segi suci atau tidak.

Cuma mungkin ada sedikit salah faham dari sudut fiqh hinggakan sesetengah pihak seperti pemilik dobi di Muar ini mengambil langkah lebih berjaga-jaga iaitu tidak membenarkan terus pengguna bukan Islam ke dobinya. Tiada masalah kerana pemilik kedai dobi berhak dan berkuasa ke atas kedainya.

Jika najis mutawasitah seperti air kencing yang terkena pakaian solat pun ada yang was-was menggunakan mesin basuh untuk membersihkannya, suci atau tidak, apatah lagi jika mesin itu dikongsi dengan orang bukan Islam yang umumnya tidak membezakan mana satu najis mutawasitah atau mughallazah dalam kehidupan harian mereka.

Najis mughallazah seperti anjing dan babi bukan sebarang najis, ia adalah najis berat dan perlu disamak terlebih dahulu.

Pedang rasa orang kafir, tak akan membersihkan (samak) najis berat itu terlebih dahulu sebelum mencuci pakaian di kedai dobi. Dia bukan peduli pun sama ada najis itu mughallazah, mukhaffafah atau mutawassitah.

Cuma apa yang Pedang ingin tegaskan di sini ialah Islam itu memudahkan tidak menyusahkan. Jika kita tak pasti dalam sesuatu isu melibatkan hukum fiqh, wajarlah kita mengambil pandangan ahlinya terlebih dahulu. Untuk lebih berhati-hati, ambillah tindakan sewajarnya.

Kepada puak liberal dan media mereka, jangan jadikan perkara ini sebagai modal memburukkan Islam. Ini tiada kaitan dengan anda. Hormatilah hak umat Islam untuk mengamalkan agama mereka.

Oleh kerana sekarang ini telah wujud kedai dobi khas untuk orang Islam sahaja, Pedang harap tidak ada pihak yang iri hati dan cuba untuk merosakkan perniagaan itu. Pedang pasti ramai umat Islam yang semakin sedar untuk menjaga kebersihan, khususnya pakaian.

Sekali lagi Pedang ucapkan tahniah kepada pemilik kedai dobi di Muar itu, dan berharap lebih ramai umat Islam yang sedia membuka kedai dobi khas untuk umat Islam. Orang lain, boleh cuci pakaian di kedai dobi lain.

Kata Pedang: Pedang cuci pakaian di rumah guna mesin pembasuh, kadang-kadang sental dengan tangan.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

One thought on “Kata Pedang: Jom ke kedai dobi khas untuk orang Islam

  1. mohd faizal bin muhamad aziz

    Perlu jelas penggunaan “samak” dan “sertu” dalam artikel ini memandangkan kedua istilah ini mempunyai maksud berlainan.Jadi, penggunaan “menyamak” tidak tepat dalam konteks artikel ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *