Ibu bapa masih Hindu, bangga anak dapat anugerah Maal Hijrah

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 4 Muharram 1439H, Isnin – Meskipun berbeza pegangan agama, namun ibu bapa Muhammad Syazwan Menon,29, bangga dengan kejayaan anak mereka apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Saudara Mithali sempena sambutan Maal Hijrah 1439 peringkat negeri Pulau Pinang, baru-baru ini.

Muhammad Syazwan ketika ditemubual Ismaweb berkata, beliau bersyukur dengan anugerah berkenaan sekali gus mendedikasikan kejayaan beliau khusus kepada kedua orang tuanya itu.

“Ibu dan ayah saya yang juga hadir pada hari majlis anugerah berkenaan, menzahirkan perasaan bangga mereka terhadap anugerah yang diterima itu.

“Terlalu ramai insan yang saya ingin dedikasikan anugerah ini, mereka-mereka yang sentiasa di belakang dan sisi saya dalam membantu memberi dorongan serta sokongan sehingga ke hari ini,” katanya.

Bapa kepada dua anak ini berkata, beliau pada awalnya hanya diminta mengisi borang oleh Jabatan Agama Islam negeri itu sebagai calon penerima anugerah.

“Menurut mereka, saya perlu isi borang calon dan tunggu dipanggil untuk temuduga. Namun, saya menerima panggilan daripada pihak jabatan yang memaklumkan bahawa saya dipilih sebagai penerima anugerah itu,” katanya.

Beliau menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000. Anugerah berkenaan adalah mengiktiraf dan menghargai sumbangan saudara baru yang bergiat aktif dalam pembangunan masyarakat dan dakwah.

 

‘Nama Rasulullah bawa cintanya pada Islam’

Membuka kisah saat pertama kali mengenali Islam, bapa kepada dua anak itu berkata, keunikan nama Muhammad s.a.w menjadi punca utama baginya untuk lebih mencari dan mendalami agama suci tersebut.

“Pencarian kepada agama Islam itu bermula pada tahun 2003, cuma saya betul serius untuk mendalaminya adalah pada 2004. Keinginan itu wujud selepas saya terbaca mengenai Rasulullah s.a.w ketika berada di sekolah menengah.

“Ketika itu kelas subjek Sejarah dan saya diminta membaca mengenai Muhammad s.a.w. Saya membaca Muhammad s.a.w sebagai S.A.W, dan rakan yang lain ketawakan saya. Saya pelik juga, adakah saya tersalah baca?

“Tetapi cikgu memperbetulkan saya, dan menyebut bacaan dan maksud sebenar ringkasan s.a.w itu sebagai ‘Salallahualaihiwassalam’. Pertama kali mendengarnya, hati saya sejuk ia juga yang menjentik saya untuk mencari siapa itu Muhammad.

“Bermula dengan mengenal siapa itu Muhammad s.a.w, membawa kepada cinta saya kepada Islam itu sendiri. Dan saya memeluk Islam secara rasmi pada 2006,” katanya.

Bercerita lanjut, Muhammad Syazwan berkata, beliau menukar agama tanpa pengetahuan keluarganya khususnya ibu bapa beliau ketika itu.

Setiap hari beliau terpaksa melakukan tanggungjawab sebagai seorang muslim secara sembunyi, bimbang diketahui oleh keluarganya.

Bagaimanapun anak keempat daripada lima beradik ini berkata, segalanya terbongkar selepas ibunya terlihat beliau ke surau, dan mengakui berlaku perselisihan antara mereka ketika itu sehingga memaksanya untuk meninggalkan rumah.

“Kemudian saya ke Kelantan dan tinggal bersama keluarga angkat saya iaitu Ustaz Zaidi Muji, yang turut menjadi individu memperkenalkan saya dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

“Saya melihat sahabat-sahabat dalam Isma berbeza dengan orang Melayu Islam yang lain. Saat itu juga saya mula bergiat aktif dengan Isma sehingga kini dan memegang jawatan sebagai Biro Dakwah Islamiyyat di cawangan Isma Pulau Pinang.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat saya di Isma yang banyak membantu saya dalam kerja-kerja dakwah ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, semua itu hanyalah kisah lama yang sekadar menjadi memori baginya. Kini, kedua ibu bapa beliau sudah mula terbuka menerimanya sebagai seorang anak dan individu yang beragama Islam.

Meskipun kedua-duanya belum membuka hati memeluk agama Islam, namun sebagai anak yang kasih kepada mereka pastinya Muhammad Syazwan tidak berhenti menitipkan doa supaya orang tuanya turut sama mengikut jejaknya satu hari nanti.

10 thoughts on “Ibu bapa masih Hindu, bangga anak dapat anugerah Maal Hijrah

  1. Tahniah Saudara Syazwan, semoga lebih ramai anak anak muda mendapat inspirasi atas kejayaan anda dan semoga segala usaha and akan diberi gangaran oleh Allah. Semoga anda sentiasa tabah dalam mengharungi cabaran dan semoga segala usaha anda diberkati dan dimudahkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *