Hebat sangatkah boleh berbahasa asing?

HEBOH satu Malaysia, menjadi viral apabila seorang staf JPJ berbangsa Melayu menggunakan bahasa Cina berinteraksi dengan dua pelajar Cina daripada China, ketika berurusan di kaunter. Semua netizen memuji. Tetapi kita pernahkah hebohkan atau viral beratus ribu, malahan juta rakyat Malaysia yang masih tidak boleh berbahasa kebangsaan atau berbahasa Melayu dengan baik? Apa sudah jadi? Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.

Saya tidak pernah hairan jika orang Melayu boleh berbahasa Cina (Mandarin). Ini adalah perkara biasa dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, apatah lagi kita mempunyai Sekolah Vernakular. Anak saya semuanya boleh berbahasa Cina. Saya anggap itu sebagai kredit atau kelebihan, bukan satu kebanggaan yang patut saya megahkan.

Apa guna hebat berbahasa asing jika bahasa sendiri merempat di bumi sendiri? Dalam taklimat Hari Malaysia baru-baru ini bersama Parti Cina (MCA), PM mengingatkan orang Cina supaya dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Saya harap MCA faham maksud PM. Jangan hanya melepaskan batuk di tangga. Sambut Hari Malaysia semata-mata untuk sambut. Realitinya, sambutan itu hanya kulit semata-mata. Isinya kosong.

Saranan PM ini sangat baik, tetapi ia tidak akan berjaya jika tidak diinstitusikan atau diundang-undangkan perkara ini. Dalam maksud, dikuatkuasakan melalui undang-undang.

Sudah sampai masanya BM disyaratkan sebagaia syarat utama untuk menjadi warganegara ini. Jika pilihan diberikan, selagi itulah BM akan menjadi bahasa berdagang di negara sendiri.

Kebolehan menguasai berbagai-bagai bahasa adalah satu kelebihan bukan satu kekuatan. Kekuatan sebenar adalah apabila rakyat Malaysia menghayati agenda negara sebenar. Jika BM itu adalah agenda negara, ia mesti disambut tanpa berkecuali.

Adalah sesuatu yang amat pelik dan menjengkelkan apabila rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa negara dengan baik. Jika warga Bangladesh boleh berbahasa Melayu dengan baik dalam jangka masa tidak sampai setahun tinggal di bumi bertuah ini, kenapa rakyat Malaysia yang lahir di sini bergenerasi tidak dapat menguasai BM dengan baik?

Ini ada kaitan dengan sikap kita. Memandang BM sebagai bahasa bangsa Melayu bukan bahasa kebangsaan atau bahasa negara. BM tidak penting, tidak ada nilai. Jika disenaraikan bahasa yang mesti dikuasai hari ini. Saya yakin BM akan menduduki tempat terakhir. Mereka (ultra kiasu) lebih mengutamakan bahasa ibunda terlebih dahulu, diikuti bahasa Inggeris, tidak mustahil bahasa Jepun dan lain-lain bahasa. BM di mana? BM tidak ada nilai.

Saya menyeru kepada pemimpin negara, berhentilah berpolitik. Negara China dan Jepun, tidak ramai rakyat boleh berbahasa Inggeris, semua menggunakan bahasa ibunda, negara ini terus maju. Begitu juga negara-negara lain seperti Thailand, Vietnam dan sebagainya. Negara Filipina, bahasa Inggerisnya cair, tetapi masih tidak maju. Apakah bahasa penentu atau tanda aras kepada kemajuan sesebuah negara?

Apa yang menentukan kemajuan sesebuah negara? Bukan bahasa tetapi sikap. Sikap yang lebih penting. Justeru, sikap perlu berubah. Jika tidak, sikap memandang rendah agenda negara mesti diubah. Bagaimana cara mengubah? Kuatkuasakan undang-undang.

Saya amat yakin, keadaan negara ini pasti akan berubah jika kedudukan BM benar-benar didaulatkan. Kenapa ramai pelajar bukan Melayu boleh skor A dalam BM ketika PT3 (PMR) dan SPM. Jawapan mudah, sebab telah dikuatkuasakan sebagai syarat lulus dan dapat sijil. Jika tidak ada syarat demikian, jangan harap BM akan dipelajari dan diusahakan untuk lulus dengan cemerlang.

Tidak ada gunakan dapat A dalam BM dalam SPM jika BM sekadar hafalan untuk lulus peperiksaan. Bila diuji pelajar yang mendapat A ini daripada segi komunikasi, amat menyedihkan. Kedengaran bunyi bahasa seperti bulung bulung telebang di angkase, itulah hasilnya.

Sesiapapun tidak menafikan kepentingan mempelajari bahasa asing. Bodohlah jika ada yang menolak kelebihan mempelajari bahasa asing. Tetapi janganlah kerana terlalu obses dengan bahasa asing, bahasa negara merempat di bumi sendiri.

Inilah yang sedang berlaku di Malaysia. Kita sangat berbangga dengan diversiti yang ada di Malaysia, warna-warni Malaysia. Semua orang bangga. Saya pun bangga. Tetapi bagaimana dengan agenda negara.

Saya amat bimbang, sekiranya kita terus memandang remeh perkara ini dan tidak tegas dalam pelaksanaan BM, kita tidak akan ke mana-mana. Nak kata kita hebat sangat, tidak juga. Malah, negara Thailand dan Vietnam sudah mula mengorak langkah meninggalkan kita.

Kenapa negara Thailand agak terkehadapan berbanding dengan negara kita daripada segi kemajuan ekonomi dan pertanian? Adakah kerana kebolehan orang Siam berbahasa Inggeris? Jawapannya, tidak. Jati diri orang Siam sangat kuat. Jati diri inilah yang telah membangunkan dan melonjakkan negara Thailand. Sanggup mati untuk Siam. Berkorban apa sahaja. Harta ataupun nyawa.

Sana sini semuanya Siam. Semua maklumat dalam bahasa Siam. Segala produk dan bahan penyiaran semuanya ‘disiamkan’ terlebih dahulu sebelum dibawa keluar.

Pendek kata, Thailand berjaya melahirkan rakyat yang sanggup mati untuk negara. Sebab itu di Thailand, tidak ada kategori atau pengkelasan bangsa. Semuanya bangsa Siam, tidak kiralah sama ada asal usul mereka ada yang bukan Siam. Orang Cina di Thailand tidak lagi dikenali sebagai Cina, tetapi mereka adalah orang Siam.

Jika ada orang Cina Thailand mengaku mereka adalah orang Cina, pasti mereka akan dihantar balik.

Berbanding dengan negara kita, bahasa asing lebih didaulatkan di sana sini. Semua maklumat dalam bahasa asing. BM menjadi bahasa merempat. Lihatlah maklumat papan tanda, produk, siaran TV radio dan sebagainya. Berapa banyak rancangan dalam BM berbanding dengan bahasa asing?

Jangan pergi jauh, masuklah ke dalam semua bank komersial yang ada, semuanya dalam bahasa asing. Ini tidak termasuk nama-nama yang sudah bertukar, Kedai Telekom menjadi TM Point, Bank Bumiputera menjadi CIMB dan sebagainya. Apakah begitu hina menggunakan perkataan BM seoerti “kedai”, “Bumiputera” dan lain-lain perkataan bahasa Melayu. Apakah BM ini terlalu hina, sehingga tidak ada lagi nama-nama taman perumahan atau nama bangunan komersial menggunakan BM. Semuanya sudah menjadi Verge, Conezion, Velocity, Time Square, Queensbay, Eastin, D’Casa dan macam-macam lagi. Majoritinya langsung tidak ada kena mengena dengan bangsa-bangsa yang ada di negara kita ini.

Kenapa begitu mudah nama-nama ini diluluskan? Apakah tugas Majlis Perbandaran atau Majlis Tempatan (Daerah) hanya meluluskan? Yang DiPertua Perbandaran atau Pegawai Perancang Bandar buat apa? Makan gaji buta?

Hina sangatkah nama seperti Mawar, Melati, Melur, Kencana, Pertama, Permata dan lain-lain nama-nama Melayu yang indah yang boleh diletakkan kepada nama kepada taman perumahan dan bangunan komersial. Apakah pelancong tidak akan membeli atau membeli belah dalam bangunan komersial yang menggunakan nama BM dalam bangunan komersialnya?

Sebenarnya pelancong datang di Malaysia mahu cari apa? Cari nama orang putih? Cari arak? Cari pelacur? Atau mahu cari apa? Tidakkah mereka mahu mencari suatu kelainan dalam negara ini. Mengenali adat budaya, cara hidup kita dan sebagainya.

Jika mahukan bahasa mereka sendiri atau cara hidup mereka sendiri seperti, arak, pelacur, judi dan lain-lain, mereka semua sudah ‘mandi’ dengan semua kemaksiatan itu di negara sendiri. Mereka sebenarnya mahu apa berkunjung ke negara kita? Janganlah kita terlalu perasan dengan mengatakan pelancong akan lari jika arak dan pelacur tidak disajikan. Mereka sudah mandi dengan semua kemaksiatan itu.

Amat memalukan apabila pelancong datang ke sini, kita sajikan lagu rock yang mereka sudah pun terlebih rock. Tidakkah ketika itu mereka mahu mendengar keroncong, inang, zapin dan sebagainya?

Terbaharu, saya ‘tertengkar’ dengan ‘tok guru’ atau professor yang lebih tua daripada saya. Apabila saya membangkitkan isu kenapa Thailand dan Indonesia lebih berjaya dalam pembinaan jati diri dan pembangunan negara bangsa. Profesor ini menjawab, “ada apa dengan Thailand dan Indonesia, mereka bergaduh sesama mereka dan saling menjatuh antara satu sama lain”.

Saya sungguh terkejut bagaimana seorang professor boleh berkata sedemikian. Thailand dan Indonesia, hanya ‘bergaduh’ dalam soal masalah dalaman mereka. Negara mereka terus bergerak maju. Rakyat mereka sangat setia kepada tanahair. Malah sanggup mati mempertahankan jati diri negara, seperti agama, bangsa dan negara.

Contoh Thailand, walaupun pemerintah mereka dan parti mereka sering bertukar, kesetiaan dan ketaatan mereka kepada Raja, Buddha dan identiti Siam, tidak berbelah bahagi. Begitu juga Indonesia. Mereka sanggup mati untuk itu, meskipun ada pemimpin mereka dijatuhkan dalam kalangan mereka (tentera).

Tetapi, tidak kita, berapa ramai yang sanggup mati untuk agama, bangsa dan negara. Kita belum diuji. Suatu hari nanti jika diuji dengan peperangan, baharulah kita menepuk kepala, siapa yang setia, siapa yang tidak? Siapa yang akan sanggup mati, siapa yang akan lari. Sekarang ini pun sudah berapa ramai yang lari? Saya amat yakin ramai yang akan lari.

Mungkin ada yang sinis dengan pena saya. Tetapi saya amat yakin, saya dapat merasakan percikannya. Mungkin yang lain tidak merasai kerana kita terlalu berpolitik. Agenda negara sanggup diketepikan kerana kepentingan politik dan kuasa.

Salam hormat saya,

Mohd Ridhuan Tee Abdullah, PhD (Politics & Gov)

7 thoughts on “Hebat sangatkah boleh berbahasa asing?

  1. Assalam..Prof

    Syukur pada Illahi atas kata-kata prof yang sangat tepat untuk diingati oleh setiap individu yang cintakan bahasa Melayu.

  2. Apa yg diutarakan oleh saudara Ridhuan Tee Abdulah adalah benar..saudara ridhuan tee lebih memahami masalah yg di hadapi oleh malaysia saat ini berbanding org melayu atau bumiputra itu sendiri…
    Nama lahir di malaysia..tetapi ber bahasa kebangsaan saat memalukan..bg saya kalau dh tak boleh berbahasa kebangsaan dgn baik..baik berambus aje dr malaysia..

  3. Saya sangat bersetuju dgn pandangan Dr. ini. Rakyat Malaysia lebih mengutamakan kepuasan dan penarikan pelancong asing ke negara ini berbanding mempertahankan adat resam serta budaya negara kita sendiri. Sangat memalukan kerana pelajar kita sendiri gagal peperiksaan dalam Bahasa Melayu. Ini menunjukkan penguasaan bahasa kebangsaan tidak diperkukuhkan di dalam diri individu tersebut, sebaliknya mereka sangat berbangga dan megah jika dapat menguasai bahasa asing dari segi percakapan atau penulisan. Di manakah bukti Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan? Fikir-fikirkan…

  4. Bagaimanakah bisa memartabatkan Bahasa Melayu dengan masih menggunakan perkataan-perkataan dari Bahasa Inggeris yang disalahejakan sedangkan perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu yang sama dan sepadan maknanya tidak digunakan?

  5. Ketam & Anak2nya

    Merepek tak habis2 dia ni.. nak tulis pasal pentingnya memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi tapi melalut tak tentu pasal.Kalau yang bercakap pun buat penulisan pun tunggang langgang,takde yang relevan dengan subjek yang nak disampaikan tak payahlah.Buat esei pun takde isi!
    Betulkan cara penulisan n olahan penulisan tu terlebih dahulu..tak guna nak memartabatkan bahasa kalau pengolahan penulisan ke laut!

  6. Mungkin kita tak boleh bandingkan Thailand dan Indonesia sebab kita mempunyai model Negara yang berlainan. Kita Negara yang berbilang kaum. Sejarah kita sendiri yg membuatkan kita jadi berbilang kaum. Kita nak hidup bersama dengan aman damai. Kita sentiasa laungkan perlu ada sikap toleransi. Macam mana lah kita nak memertabatkan identiti satu bangsa sedangkan Negara Malaysia berbilang kaum. Sistem pendidikan kita pun berasas kan toleransi, kerajaan dari dulu sudah adakan sekolah aliran yang berlainan kaum(Melayu, cina, india). Ini bermakna masyarakat kita dah dibentuk sedemikian rupa, Jadi saya rasa tak perlu lah nak tempa satu ‘sistem’ lain konon nak disamakan dengan Indonesia dan Thailand. Merubah sistem yang ada akan melibatkan sensitiviti perkauman. Ini dah melanggar konsep toleransi. Kenapa nak ikot dia orang (indons and thais)?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *