Dua beradik Rohingya yatim piatu kerana rejim Myanmar

COX’S BAZAR (Bangladesh), 3 Muharram 1439H, Ahad – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Demikian bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pelarian kanak-kanak Rohingya, Rashid Zahid, 10, selepas kehilangan kedua ibu bapanya ekoran krisis penindasan yang berlaku di negeri barat Rakhine, Myanmar.

Seawal usia berkenaan, kanak-kanak itu terpaksa memikul tanggungjawab dan amanah menjaga adik perempuannya, Rashida Zahid yang berusia enam tahun.

Mereka adalah antara 1,400 kanak-kanak Rohingya yang melarikan diri dari Rakhine tanpa ibu bapa, sama ada terbunuh atau hilang selepas tindakan brutal rejim Myanmar ke atas etnik minoriti itu.

Menurut Rashid, kehilangan ibu bapanya iaitu Zahid Hossain dan Ramija Khatun dipercayai dibunuh oleh rejim Myanmar yang kini giat menyerang etnik Rohingya.

Tatkala kanak-kanak lain berseronok melakukan aktiviti di Ruang Mesra Kanak-Kanak (CFS) di kem pelarian Kutupalong di sini, Rashid hanya tenang dan melihat sugul kegembiraan rakannya yang lain.

Katanya, beliau tinggal bersama ibu bapanya dan beradik yang lain di kampung Shikderpara di Maungdaw, sehinggalah rejim Myanmar menjalankan serangan ke atas kampung itu pada 25 Ogos lalu.

Mengingat semula detik itu, pastinya ia menjadi kenangan hitam yang tidak akan dilupakan Rashid dan Rashidah hingga akhir hayat mereka.

“Ketika itu adalah hari Jumaat. Saya meraih tangan adik saya (Rashidah) dan berlari ke arah bukit berhampiran bagi menyelamatkan diri. Selepas mendapati serangan rejim sudah beransur, saya kembali mencari kedua ibu bapa saya, malangnya mereka terbunuh.

“Saya berjalan selama tiga malam untuk sampai ke sempadan Bangladesh dan saya menyeberangi sungai Naf untuk masuk ke sini sehari sebelum Aidiladha,” katanya.

Ditanya mengenai adik beradiknya yang lain, Rashid berkata, sehingga kini keadaan mereka tidak dapat dipastikan, namun pernah mendengar bahawa kesemuanya juga turut terbunuh dalam serangan kejam itu.

Lebih 400,000 Rohingya membanjiri sempadan Bangladesh sejak Ogos lalu ekoran pertempuran yang meningkat antara pejuang etnik berkenaan dan tentera rejim Myanmar di barat Rakhine.

Etnik minoriti muslim itu terpaksa hidup di bawah sekatan-sekatan sistem pemerintahan ras (apartheid) seperti pergerakan dan kewarganegaraan.

Gelombang kekerasan itu bermula pada Oktober lalu apabila kumpulan pejuang Rohingya menyerang pos keselamatan rejim Myanmar di sempadan.

Kejadian itu menjadikan Rakhine sebagai yang terburuk dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan rejim Myanmar mungkin cuba melakukan pembersihan etnik (jenayah genosid).- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *