a
Terkini
14/12/2017, 9:17 pm

Apa Hari Raya Korban di Malaysia mengajar kita

اَللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ

ISLAM sebagai satu-satunya Agama pilihan Pencipta Alam Semesta, Allah SWT. Dia Maha Tahu akan kewujudan unsur lahiriah dan batiniah di alam insan. Kerana itu Islam menyentuh keseluruhan aspek lahiriah dan keseluruhan aspek batiniah tanpa meninggalkan apa-apa yang tidak digariskan oleh Islam.

Hari Raya Korban yang disebut oleh orang Arab sebagai “yaum al-Akbar” (يوم الأكبر) menuntut untuk kita merayakannya di aspek lahiriah seperti puasa di Hari Arafah, berpakaian baru di hari raya, makan selepas solat sunat raya, solat sunat raya dan mendengar khutbah secara berjemaah dan melakukan korban jika mampu.

Aspek batiniah menuntut kita untuk duduk dan renung akan erti “korban” yang juga sebenarnya erti (مقصد) yang lebih besar di hari raya yang disyariatkan demi hamba-hamba-Nya perolehi.

“Korban” (أضحى) yang dimaksudkan oleh Allah SWT kepada kita pada hari ini dengan mengambil sempena peristiwa Nabi Ibrahim AS ingin menyembelih anaknya Nabi Ismail AS adalah erti : mengorbankan apa sahaja termasuk perasaan dan nafsu diri sendiri demi menurut arahan dan tuntutan Yang Maha Esa, sungguhpun perkara yang paling kita suka atau sayang iaitu anak sendiri di dalam peristiwa Nabi Ismail.

Berbanding aspek lahiriah yang hampir kesemuanya perkara-perkara sunat diamalkan, perlu kita tahu bahawa erti ‘korban’ di aspek batiniah adalah wajib di dalam agama Islam untuk muslimin menyelaminya dan beriktikad dengannya.

Wajib bererti berdosa bagi mereka yang tidak beriktikad dengan maksud batiniah ‘korban’ yang disyariatkan oleh Allah SWT.

Menarik tentang laungan takbir yang kita amalkan di Malaysia sehingga ke hari ini,

لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ.

Yang bermaksud : “tiada tuhan melainkan Allah dan kami tidak sembah kecuali kepada-Nya dengan sepenuh hati dan kepada-Nya Pentadbiran (Agama) sungguhpun dibenci oleh orang-orang kafir..

Kita didendangkan dengan laungan ini bermula hari ini sehingga raya ke-3 tapi adakah kita sedar akan mendalam maknanya dan tinggi pengertiannya?

Apabila kita menyebut kita menyembah (نعبد) Allah SWT, kita dalam erti kata lain tunduk (خضوع) dan patuh (طاعة) kepada-Nya. Pengertian sembah (عبد) tiada nilai dan tidak tertunai tanpa tunduk dan patuh.

Sembah itu apabila hatinya tunduk iaitu redha dan tenang hatinya mengambil Allah sebagai tuhan, dan patuh iaitu hati dan fizikalnya patuh menurut apa yang diminta dan dilarang oleh Allah SWT.

Ini jelas difahami dari Hadith ‘Adi bin Hatim yang dikeluarkan oleh at-Tirmizi.

((…apabila dia (‘Adi) masuk berjumpa Rasulullah SAW dan di lehernya ada salib dari emas lalu Rasulullah SAW membaca (اتخذوا أحبارهم ورهبانهم أربابا من دون الله) “mereka mengambil rahib-rahib mereka dan sami-sami sebagai tuhan berbanding Allah” dan ‘Adi berkata “mereka tidak menyembah rahib-rahib”.

Berkata Rasulullah SAW “Bahkan! Rahib-rahib itu mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, lalu pengikut mereka menuruti. Itulah sembah pengikut itu kepada rahib-rahib mereka”))

Memahami pengertian sembah (عبد) di atas, seorang yang bisu dan kurang upaya contohnya yang tidak mampu mengucapkan pengakuan sembahnya tetap jelas diketahui ‘sembah’nya melalui hakikat tunduk dan sikap patuh orang itu dengan ayat-ayat dan suruhan Allah SWT.

Begitulah juga apabila ia diaplikasikan kepada selain Allah.

Apabila seseorang itu tunduk dan patuh kepada apa-apa entiti berupa falsafah atau ideologi, kerajaan atau pemerintah, keinginan atau hawa nafsu, syaitan atau manusia, dia sebenarnya menyembah entiti tersebut tanpa perlu untuk dia mengakui menyembahnya.

Manusia yang tunduk dan patuh kepada sosiologi dia sebenarnya menyembah ideologi tersebut. Manusia yang tunduk dan patuh kepada kerajaan tertentu dia sebenarnya menyembah kerajaan tersebut.

Manusia yang tunduk dan patuh kepada nafsunya dia sebenarnya menyembah nafsu itu. Manusia yang tunduk dan patuh kepada manusia lain dia sebenarnya menyembah manusia itu.

Sebagai hamba dan manusia jadian yang wujud di bawah kehendak dan izin Yang Maha Pencipta, Dia telah memerintahkan manusia untuk hanya tunduk dan patuh kepada arahan-Nya dan jauhi larangan-Nya. Dia mewajibkan ketidak-tundukkan dan ketidak-patuhan kepada apa yang bukan berasaskan kefahaman yang sahih dari al-Quran dan as-Sunnah.

‘Sembah’ kita kepada mana-mana ideologi (fikrah) adalah kerana ideologi itu sepenuhnya berasaskan Islam yang sahih, ‘sembah’ kita kepada kerajaan (pemerintah– bagi yang tiada raja) tertentu adalah kerana asas Islam yang sahih yang terkandung di dalamnya meminta kita mematuhi pemerintah yang membawa aspirasi Islam sepenuhnya.

‘Sembah’ kita kepada wahyu yang bercanggahan dengan nafsu kerana Islam memerintahkan manusia tidak mengikut hawa nafsu. ‘Sembah’ kita kepada manusia adalah kerana perintah Allah SWT supaya kita hidup di dalam sebuah sof yang utuh dan berkepimpinan yang berada di atas landasan nas Agama.

Di Hari Raya Aidil Adha yang penuh barakah ini dan dengan laungan takbir yang berterusan di langit bumi di seluruh dunia, ayuh kita duduk sejenak dan berfikir apakah kita benar-benar menyembah Allah SWT. Adakah kita telah melunaskan hak-hak-Nya selaku Pencipta kita agar dituruti arahan dan larangan-Nya.

Atau apakah kita menuruti yang selain-Nya yang berupa keinginan diri yang tiada asasnya di dalam Islam tidak kira secara keseluruhan apatah lagi secara cebis-cebisan.

Mari bersama-sama kita mengambil kesempatan di Hari Raya Korban ini untuk mengorbankan apa yang kita ‘sembah’ berupa apa pun kepada sembahan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Bertekadlah dan berazamlah untuk mengenali dan mempelajari Agama ini dengan lebih baik demi memastikan kita tidak tersasar dari Jalan Yang Lurus.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha 1438 Hijrah.
10 Zulhijjah 1438H.

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment