Youtube akui kesilapan buang klip video, batal akaun pengguna

LONDON, 26 Zulkaedah 1438H, Sabtu – Youtube memohon maaf setelah ‘tersilap’ mengeluarkan klip video yang menggambarkan jenayah perang dan aspek lain perang saudara di Syria oleh aktivis dan kumpulan penentang rejim Bashar Al Assad.

Minggu lalu, beberapa pertubuhan dan media, termasuk Middle East Eye, laman siasatan Bellingcat dan kumpulan pemantau Aiwars, berkata klip video mereka dikeluarkan oleh Youtube dengan mendakwa ia melanggar peraturan laman itu sebagai platform komuniti.

Selain itu, beberapa laman media sosial juga mendapati akaun Youtube mereka juga digantung, termasuk Bellingcat dan rangkaian media Orient News.

Laman Youtube Ismaweb.net turut digantung selepas menyiarkan video pertempuran di Syria.

Penggantungan dan pembatalan akaun Youtube dibuat sehari selepas Google – yang memiliki Youtube – menerima satu program baharu yang didakwa boleh mengesan video berunsur ekstremis tanpa perlu dipantau oleh kakitangannya.

Tetapi, sejak penggunaan program berkenaan, banyak klip video, termasuk bukti tindakan IS memusnahkan artifak purba, telah ‘dikategorikan’ sebagai ekstremis dan dipadam daripada arkib Youtube.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya semalam, Youtube mengaku melakukan kesilapan memadam beberapa klip video, dan berkata, ianya sudah dimuatnaik semula.

“Kami baru-baru ini mengumumkan penambahbaikan kepada teknologi Youtube dan disebabkan terlalu banyak video, kadang kala kami melakukan kesilapan.

“Apabila dimaklumkan mengenai video dan rangkaian itu dikeluarkan secara silap, kami akan memperbetulkannya. Kami bertindak pantas untuk mengembalikannya,” kata Youtube sebagaimana dilaporkan Times. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *