Wabak rabies dijangka terkawal menjelang akhir Ogos

KUCHING, 20 Zulkaedah 1438H, Ahad – Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia,Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam yakin wabak rabies atau anjing gila akan terkawal 90 peratus menjelang akhir Ogos.

Beliau berkata, ia memandangkan tiada lagi sampel yang positif penyakit berkenaan sejak 24 Julai lalu.

Menurutnya, pengawalan populasi anjing liar dan terbiar terpaksa dilakukan walaupun terdapat pelbagai halangan kerana statusnya tidak dapat dipastikan, sama ada ia dijangkiti atau tidak.

“Semua ini terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa manusia,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai veterinar dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia di Bilik Operasi Jabatan Veterinar Sarawak.

Jelas beliau, penubuhan zon penampan adalah komitmen jangka masa panjang kerana ia melibatkan tambahan tenaga kerja dan kos, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan jarak 300 hingga 400 kilometer.

“Kerjasama dan maklumat dari Kalimantan Barat, Timur dan Utara juga perlu diperoleh untuk tujuan tersebut,” katanya.

Dr Quaza Nizamuddin turut mengucapkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam merancang dan melaksana program vaksinasi, survelan dan pengawalan anjing terbiar bagi mengawal penularan wabak rabies yang setakat ini telah meragut lima nyawa di negeri ini.

“Kebajikan petugas-petugas juga perlu dijaga dengan memberi masa rehat yang cukup dan bertugas secara giliran,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *