Tuah guru sekolah menangi pakej umrah

Oleh Athirah Huda Zalhe

KOTA BHARU, 26 Zulkaedah 1438H, Sabtu – Penyertaan di saat akhir seorang guru sekolah dalam program Kayuhan Berbasikal Sihat Tanpa Tembakau dan Vape (S2TV), membawa tuah apabila memenangi pakej umrah bernilai hampir RM6,000.

Mohd Awi Dazni Danial mengakui tidak menyangka hadiah utama yang menjadi sasaran kepada 2,020 peserta program berkenaan menjadi miliknya.

“Syukur Alhamdulillah, rezeki saya hari ini mendapat hadiah utama dalam cabutan bertuah. Terima kasih kepada penganjur I-Medik, Masjid Telipot dan juga al-Quds Travel Sdn Bhd.

“Ini adalah penyertaan secara individu, itu pun di saat-saat akhir selepas mengambil kira jadual saya dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net, hari ini.

Katanya, beliau sendiri tidak mampu menahan sebak dan terharu apabila nombor bertuah ‘0207’ diumumkan pada majlis penutupan program anjuran Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) dan Masjid Telipot Kota Bharu.

“Ini adalah program fun ride kedua saya, dan sebelum ini pernah menyertai program berbasikal di Merapoh. Saya juga baru lagi berminat dengan aktiviti berbasikal ini.

“Tujuan saya berbasikal adalah untuk kesihatan. Tambah pula usia menjangkau 40 tahun ini, kena selalu buat pemeriksaan secara kerap. Jadi aktiviti ini sebagai sebahagian usaha saya mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Mengulas penganjuran program hari ini, beliau mengagumi usaha penganjur yang berjaya menarik lebih 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Penyertaan seramai 2,020 orang adalah amat dasyat bagi saya. Saya jangkakan maksimum hanya 1,500 orang sahaja.

“Saya kira program sebegini sangat baik, lebih lagi masjid sebagai penganjur bersama, jadi ia secara tak langsung menarik anak-anak muda dan saya sendiri untuk lebih dekat dengan masjid,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *