Trump jaja lagi cerita karut ‘peluru darah babi’ tangani militan Islam

NEW YORK, 26 Zulkaedah 1438H, Sabtu – Beberapa jam selepas serangan pengganas di Barcelona, Sepanyol, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengeluarkan kenyataan mencadangkan militan Islam sepatutnya ditembak mati menggunakan peluru yang direndam dalam darah babi.

Dalam Twetternya yang merujuk cerita kononnya berlaku di Filipina pada abad ke-20, Trump berkata: “Belajar apa yang dilakukan Jeneral Pershing dari Amerika Syarikat lakukan terhadap pengganas yang ditangkap. Tidak ada lagi pengganas radikal Islam selama 35 tahun!”.

Kenyataan mengenai peluru direndam darah babi itu sering dijaja oleh Trump sejak tahun lalu, ketika mengulas mengenai militan dan pengganas Islam.

“Mereka menghadapi masalah pengganas, sama seperti kita. Pershing menangkap 50 pengganas yang melakukan kerosakan besar dan membunuh ramai orang. Dan dia mengambil 50 pengganas, 50 askarnya dan merendam 50 peluru dalam darah babi. Anda dengar cerita itu, betul? Dia mengambil 50 peluru, dan merendamnya dalam darah babi.

“Peluru itu digunakan untuk menembak 49 daripada pengganas berkenaan. Manakala, seorang pengganas lagi diarah pulang memberitahu apa yang berlaku kepada rakan-rakannya. Selama 25 tahun tiada masalah timbul,” kata Trump pada 2016.

Itulah cerita yang sering dijaja oleh Trump, dan berulang lagi semalam selepas serangan pengganas di Barcelona yang sehingga kini mengorbankan 14 orang dan lebih 100 lagi cedera, apabila van digunakan untuk merempuh orang ramai di kawasan yang popular dengan pelancong.

Tetapi, pakar sejarah menafikan Jeneral John J Pershing melakukan tindakan demikian terhadap militan Islam di Filipina, sebaliknya menganggap kisah itu sengaja diada-adakan.

Profesor Sejarah Texas A&M University, Brian M Linn, yang menerbitkan ‘Guardians of Empire’ hampir dua dekad lalu, buku mengenai kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) di Asia dari 1902 hingga 1940, mengulas dakwaan Trump dengan berkata, sesungguhnya tiada bukti yang menunjukkan kejadian itu berlaku.

“Ia adalah cerita yang direka. Tidak kira berapa kali orang bercerita mengenainya, ia tetap tidak benar. Tiada siapa dapat memberitahu di mana dan bila kejadian itu berlaku,” katanya.

Tetapi cerita dijaja Trump itu mendapat perhatian, malah dipercayai. Bukan sahaja cerita itu tidak benar, tetapi telah diputarbelitkan – bahawa pemberontakan dipatahkan menggunakan taktik perang yang kejam dan kotor – bertentangan dengan apa dilakukan Pershing dan askarnya lakukan ketika kempen di Filipina pada 1899 hingga 1913, kata Linn.

Linn mula mengesan cerita ‘peluru Pershing dan darah babi’ itu selepas serangan 11 September 2001, apabila pengguna internet melakukan pencarian mengenai operasi tentera berkaitan agama.

“Pada saya, cerita itu datang daripada sumber yang kuat anti-Muslim, bukan sejarah tentera,” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *