RUU164: Kerajaan perlu hormati kedudukan Islam dalam kerangka Perlembagaan

IPEGUAM mengikuti perkembangan dan perbincangan di portal media dan laman sosial berhubung pindaan Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) atau dikenali sebagai RUU164 yang akhirnya telah diluluskan pada awal pagi 11 Ogos 2017.

IPeguam melalui satu kenyataan bertarikh 5 April 2017 iaitu sebelum sesi persidangan Dewan Rakyat pada kali ini telah menegaskan bahawa pihak kerajaan perlu mengkaji semula cadangan pindaan yang dikemukakan ketika itu kerana beberapa isu keperlembagaan yang akan timbul sekiranya ia diluluskan.

Rujuk: http://isma.org.my/v2/ipeguam-gesa-kaji-semula-cadangan-pindaan-akta-164/

Walaupun cadangan RUU164 terkini telah diluluskan, namun terdapat reaksi pelbagai daripada seluruh lapisan masyarakat termasuklah parti politik, pengamal undang-undang, aktivis sosial dan badan bukan kerajaan. Ternyata, Parlimen telah meluluskan cadangan pindaan yang tidak mengandungi Seksyen 88A yang dimasukkan pada cadangan pindaan asal.

Kontroversi Seksyen 88A – hak pertukaran secara unilateral tercabar

Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman, beliau berkata bahawa pindaan ini dibuat agar tidak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip doktrin “stare decisis” di mana keputusan Mahkamah tertinggi terhadap pentafsiran Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan adalah mengikat.

Bagi pengkritik cadangan pindaan yang telah diluluskan baru-baru ini, Seksyen 88A didakwa sebagai satu peruntukan yang penting bagi Akta 164 tersebut kerana kononnya ia adalah satu jalan penyelesaian yang adil dan logikal.

Seksyen 88A adalah satu peruntukan yang didakwa pada asalnya bertujuan untuk menyelesaikan konflik yang timbul akibat tindakan seorang ibu atau bapa yang memeluk Islam yang menggunakan hak mereka seperti terkandung dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan untuk menukar agama anak-anak mereka kepada Islam.

Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa:

For the purposes of Clause (3), the religion of a person under the age of eighteen years shall be decided by his parent or guardian.”

Versi Bahasa Melayu adalah seperti berikut:

“Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.”

Isu ini telah pun diputuskan di dalam kes Shamala Sathiyaseelan v Dr Javaganesh C Mogarajah & Anor [2011] 1 CLJ 568 bahawa perkataan ‘parent’ atau ‘guardian’ merujuk kepada subjek yang tunggal atau ‘singular’. Penterjemahan ini selari dengan Seksyen 6(1) Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 (Akta 351) dan Seksyen 95(b) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang juga menggunapakai perkataan “parent” atau “guardian” serta “ibu” atau “bapa” atau “penjaga” secara respektif.

Penterjemahan yang sama turut diiktiraf oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subashini Rajasingam v Saravanan Thangathoray & other appeals [2008] 2 CLJ 1 yang memutuskan bahawa Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan:

…must not be read as entrenching the right to choice of religion in both parents.

Terjemahan bebas:
“ … tidak boleh dibaca sebagai mengukuhkan hak untuk memilih agama pada kedua-dua ibubapa.”

Di bawah Seksyen 95(b) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya kepada Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-87 (23- 25 Jun 2009) juga telah “memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam”.

Walaubagaimanapun, penyelesaian melalui Seksyen 88A menyebut bahawa pertukaran agama anak-anak kepada Islam memerlukan kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa mereka dan apabila kedua-dua ibu bapa dimuktamadkan perceraian mereka, anak-anak mereka hendaklah kekal dalam agama asal ibu bapa mereka.

Ini jelas menunjukkan bahawa Seksyen 88A adalah bercanggah dengan Perkara 12(4) dan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memberikan serta mengiktiraf hak pertukaran agama anak-anak secara unilateral kepada Islam oleh ibu atau bapa yang memeluk Islam serta tidak bertepatan dengan fatwa yang ingin menyelamatkan aqidah anak-anak mereka.

Mengambil kira implikasi sekiranya Seksyen 88A ini turut dikemukakan dan diluluskan, IPeguam memuji serta berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana berhati-hati dalam menyelesaikan konflik yang sensitif ini dengan menghormati Perlembagaan Persekutuan, keputusan Mahkamah Persekutuan, undang-undang pentadbiran Islam serta fatwa.

Kontroversi Seksyen 3 dan 51 – perebutan bidang kuasa Mahkamah Syariah

Namun demikian, IPeguam tetap berasa dukacita di atas cadangan pindaan terhadap Seksyen 3 dan Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 ini. Bahkan, IPeguam menolak cadangan pindaan tersebut kerana ia merupakan satu penyelesaian yang prejudis terhadap Islam dan institusinya serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan adalah satu dokumen teragung di negara kita sebagai tanda kedaulatan dan keutuhan sistem pentadbiran dan perundangan Malaysia. Padanya terkandung satu kerangka sistem dwi-perundangan yang begitu istimewa tidak terdapat di mana-mana negara lain lebih-lebih lagi Malaysia adalah sebuah negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan ini, sesuai dengan politi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Pengagihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 121(1) bagi Mahkamah Sivil dan Perkara 121(1A) yang memberikan bidang kuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, usaha pengharmonian undang-undang dan institusi Mahkamah Syariah dan Sivil perlu diutamakan agar “win-win solution” dapat dicapai tanpa persengketaan antara agama.

Melalui pindaan kepada Seksyen 3 dan Seksyen 51 ini, ia bukanlah satu “win-win solution” kerana ia mempunyai kesan yang merebut bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah dan diserahkan pula kepada Mahkamah Sivil. Perebutan bidang kuasa ini jelas bercanggah dengan Perkara 121(1) dan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Bukan sekadar ia merebut bidang kuasa Mahkamah Syariah, bahkan ia mencabul serta menafikan hak-hak Muallaf untuk mengamalkan kepercayaan dan agama baharu yang dianutinya serta hak untuk tertakluk dan diurus oleh undang-undang peribadi dan keluarga Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini kerana, Seksyen 51(1)(a) kononnya memberikan ‘pilihan’ kepada pihak yang memeluk Islam untuk memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil. Ironinya, pihak bukan Islam tidak boleh memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Syariah apatah lagi mengemukakan aduan atau cabaran terhadap pengislaman anak-anak yang ditukar agama secara unilateral oleh pihak yang memeluk Islam serta hak penjagaan mereka. Hal ini kerana, Mahkamah Syariah tidak boleh membicarakan orang selain yang menganuti agama Islam.

Oleh yang demikian, tidak boleh tidak pihak yang memeluk Islam hakikatnya bukanlah mempunyai ‘pilihan’ tetapi terpaksa berserah kepada bidang kuasa Mahkamah Sivil yang telah merebut bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui Seksyen 3 untuk menyelesaikan isu perceraian dan isu lanjutan.

Akibat daripada pindaan terhadap Seksyen 51(1) tersebut, pihak yang memeluk Islam hanya boleh mendapatkan “relief” atau “remedy” tertakluk kepada budi bicara Mahkamah Sivil menurut Seksyen 51(2) berkenaan nafkah, kebajikan dan penjagaan anak-anak serta sebarang syarat-syarat lain berikutan pembubaran perkahwinan tersebut.

Hal ini lantas menafikan hak-hak Muallaf untuk mendapatkan “relief” atau “remedy” dalam perihal yang sama daripada Mahkamah Syariah yang semestinya mengambil kira maslahat orang Islam dan agama Islam serta mementingkan kedudukan undang-undang Islam dan hak-hak Muallaf sebagai orang Islam terutamanya apabila anak-anak tersebut telah memeluk Islam atau ditukar agama kepada Islam secara unilateral.

Pencabulan ini diperkukuhkan lagi dengan peruntukan Seksyen 88 Akta 164 yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Sivil untuk menentukan hak penjagaan anak-anak. Melalui Seksyen 88(3), ia berpotensi menyebabkan prejudis terhadap pihak yang memeluk Islam atau Muallaf dalam kalangan bapa yang telah menukarkan agama anak-anak mereka kepada Islam dan diperakui oleh Pendaftar Muallaf dan Majlis Agama Islam negeri.

Seksyen 88(3) menyebut bahawa:

“(3) Maka hendaklah menjadi suatu anggapan boleh dipatahkan bahawa adalah untuk kebaikan seseorang anak bawah umur tujuh tahun untuk dia berada dengan ibunya tetapi dalam memutuskan sama ada anggapan itu terpakai bagi fakta sesuatu kes tertentu, mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada ketidakwajaran mengganggu kehidupan seseorang anak dengan perubahan penjagaan.”

Oleh yang demikian, sekiranya status pengIslaman anak-anak dibawah 18 tahun menjadi pertikaian, tidak mustahil Muallaf yang merupakan bapa atau pihak yang memeluk Islam akan dinafikan hak penjagaan ke atas anak-anak mereka walaupun pengIslaman mereka diiktiraf oleh Pendaftar Muallaf dan Majlis Agama Islam negeri kerana pertimbangan yang menjadi pertikaian ini tidak akan diambil kira oleh Mahkamah Sivil.

Disamping itu, sekiranya Seksyen 51(1)(a) ini memberikan ‘pilihan’ kepada Muallaf dan bukannya merupakan sesuatu kewajipan yang dituntut oleh undang-undang, yang mana IPeguam tidak bersetuju, peruntukan tersebut juga boleh dibaca dengan maksud ibu atau bapa yang memeluk Islam juga mempunyai ‘pilihan’ untuk tidak memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil.

Hal ini bermakna ibu atau bapa yang memeluk Islam tersebut, secara hak sebagai orang Islam, masih boleh mengemukakan permohonan pengesahan perceraian di Mahkamah Syariah dan dengan demikian perintah yang dikeluarkan tidak boleh dicabar atau disentuh oleh Mahkamah Sivil. Akibatnya, pindaan ini tidak menyelesaikan masalah bidang kuasa atau pembubaran perkahwinan itu sendiri.

Pendukung liberal sekular tidak hormati sistem perundangan

IPeguam mengambil kesempatan ini untuk menempelak kenyataan oleh bekas Menteri Undang-Undang iaitu Zaid bin Ibrahim yang juga merupakan ahli baharu DAP yang membawa arus dan imej Melayu liberal sekular bagi parti rasis dan cauvinis itu.

Zaid di dalam tulisan blog beliau bertajuk “Our nauseating elites” bertarikh 9 Ogos 2017 mendakwa bahawa tidak terdapat isu keperlembagaan berhubung cadangan pindaan untuk menambah Seksyen 88A seperti yang dijelaskan pada bahagian awal kenyataan ini.

Beliau mendakwa:

They said it was a matter of the constitution, but it’s not. It’s a matter of a ridiculous decision by the Federal Court 10 years ago“.

Dakwa Zaid Ibrahim lanjutnya:

Until the new law banning unilateral conversion is decided at the highest level (of courts), it stays valid. So what’s the constitutional issue?“.

Kenyataan Zaid ini menunjukkan bahawa Zaid bukan sahaja tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan bahkan menghina institusi kehakiman dan keputusan Mahkamah agung kerana Zaid berpendapat tidak ada masalah sekiranya Parlimen meluluskan suatu undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia kekal sah sehinggalah ia dicabar keperlembagaannya.

Ini menunjukkan Zaid Ibrahim, yang juga seorang pengamal undang-undang, mengambil sikap semberono dan hipokrit apabila sesuatu undang-undang atau peruntukan Perlembagaan itu memihak atau memberi kebaikan kepada Islam, maka pendukung liberal sekular seperti Zaid Ibrahim tidak senang duduk daripada membuat kenyataan dan pendapat undang-undang yang tempang dan dangkal.

Suka diingatkan bahawa Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara ini. Kenyataan Zaid Ibrahim ini adalah jelas satu penghinaan terhadap Mahkamah Persekutuan yang saban tahun secara istiqamah dan berpendirian tegas mendukung Perkara 12(4) yang mengiktiraf hak untuk menukar agama anak-anak secara unilateral kepada Islam.

Zaid Ibrahim juga mendakwa bahawa Perlembagaan Persekutuan melindungi kesemua agama. Namun, Zaid Ibrahim harus membuka mata dan hati beliau untuk menerima hakikat bahawa melalui Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama bagi Persekutuan dan keistimewaan ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Menteri Dalam Negeri & Ors v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur [2013] 8 CLJ 890 bahawa:

It is my judgment that the purpose and intention of the insertion of the words: “in peace and hormany” in Article 3(1) is to protect the sanctity of Islam as the religion of the country and also to insulate against any threat face or any possible and probable threat to the religion of Islam.”

Terjemahan bebas:

“Adalah menjadi penghakiman saya bahawa tujuan dan niat penambahan perkataan: ‘dengan aman dan damai’ dalam Fasal 3 (1) adalah untuk memelihara kesucian Islam sebagai agama negara dan juga untuk mempertahankannya dari sebarang ancaman terhadapnya atau sesuatu ancaman yang mungkin dan boleh berlaku terhadap agama Islam.”

Di dalam suatu laporan oleh Free Malaysia Today bertarikh 10 Ogos 2017 bertajuk “Conversion of minor needs consent of parents, says lawyer“, Ravi Neko, seorang pengamal undang-undang keluarga sivil yang juga merupakan Bendahari Majlis Peguam, membangkitkan satu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Chang Ah Mee v Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Sabah di mana pada tahun 2003 mahkamah tersebut memutuskan bahawa Perkara 12(4) tidaklah mendiskriminasi antara jantina.

Akan tetapi, perlu disebutkan bahawa doktrin “stare decisis” seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Azalina Othman dalam kenyataan beliau adalah terpakai di mana keputusan Mahkamah tertinggi adalah mengikat Mahkamah Rendah. Berhubung dengan isu pertukaran agama anak secara unilateral ini, keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes-kes Subashini pada 2008 dan Shamala pada 2011 sewajarnya terpakai, dikuatkuasakan dan dihormati.

Walaupun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menempelak pindaan RUU164 yang tidak memasukkan Seksyen 88A, IPeguam menerima pendirian SUHAKAM yang profesional dan bertepatan dengan kaedah aplikasi Perlembagaan Persekutuan apabila SUHAKAM mengakui bahawa sekiranya hak bagi kedua-dua ibu bapa dalam isu pertukaran agama anak secara unilateral ingin diperjuangkan dan diperuntukkan, maka pindaan perlembagaan perlulah dibuat terhadap Perkara 12(4) dan bukan dengan memasukkan Seksyen 88A dalam Akta 164 seperti yang disokong oleh Zaid Ibrahim, Majlis Peguam dan pendukung liberal sekular yang lain.

Satu cadangan pengharmonian dan penyelesaian konflik mengikut lunas Perlembagaan

IPeguam tidak menerima pendirian yang diambil oleh pihak kerajaan, pengamal undang-undang atau ahli intelektual perundangan apabila mereka mendakwa bahawa cadangan pindaan Seksyen 51(1) ini dapat menyelesaikan konflik sedia ada. Mereka berkeyakinan bahawa perkahwinan pasangan bukan Islam yang dimeterai serta diurus tadbir oleh undang-undang sivil iaitu Akta 164 ini wajar dibubarkan melalui lunas undang-undang yang sama tanpa melihat implikasi atau isu secara “jurisdictional” mahupun “substantive” ekoran daripada pindaan yang dibuat.

Hak-hak Muallaf seperti hak penjagaan, kebajikan dan agama anak-anak dan agama Islam yang baharu dianuti Muallaf tersebut yang meliputi segenap aspek kehidupan khususnya undang-undang peribadi, keluarga dan harta adalah isu-isu “substantive” yang tidak mengiktiraf Mahkamah Sivil sebagai “proper forum“, sepertimana hujah-hujah yang mendakwa bahawa Mahkamah Syariah bukanlah forum yang sesuai untuk menguatkuasakan Akta 164 tersebut.

Oleh kerana itu, IPeguam berpendapat bahawa RUU164 yang diluluskan ini bukanlah “win-win solution” kerana ia pada dasarnya hanya menghakis dan merebut bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar, membicara dan menentukan hal ehwal serta hak Muallaf berkenaan dengan anak-anak mereka serta mencabul hak beragama Muallaf tersebut.

Walaubagaimanapun, IPeguam mencadangkan agar penyelesaian isu perkahwinan dan perceraian melibatkan orang bukan Islam dan Muallaf yang memeluk Islam dibuat dengan mengutamakan mekanisme penyelesaian konflik alternatif atau “alternative dispute resolution mechanism” yang luas diamalkan di negara-negara lain.

Proses mediasi atau perbicaraan melalui tribunal yang kurang formal, kurang “adversarial” dan kurang teknikal dengan dianggotai oleh hakim-hakim atau Pendaftar Mahkamah Sivil dan Syariah dalam satu persidangan khusus, berpotensi memacu jalan penyelesaian yang harmoni dan memuaskan kedua-dua pihak.

Hasil daripada proses mediasi atau mekanisme alternatif ini, IPeguam juga berpendapat bahawa tidak menjadi permasalahan sekiranya keputusan atau persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pihak suami dan isteri, ibu dan bapa didaftarkan di Mahkamah-Mahkamah secara respektif iaitu bagi pihak yang memeluk Islam, di Mahkamah Syariah dan bagi pihak yang tidak memeluk Islam, di Mahkamah Sivil.

IPeguam yakin bahawa pengagihan bidang kuasa eksklusif kedua-dua sistem kehakiman tersebut serta aplikasi undang-undang sivil dan syariah mampu diharmonikan tanpa perebutan, pemansuhan atau pertindanan bidang kuasa yang tidak berkeperlembagaan seperti apa yang berlaku melalui RUU164.

IPeguam juga mencadangkan agar pihak kerajaan mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan atau “stakeholders” seperti badan bukan kerajaan Islam (NGI), Majlis Agama Islam, Jabatan Kehakiman Syariah, Majlis Fatwa Kebangsaan, juga persatuan-persatuan Muallaf seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) serta agensi-agensi penguatkuasa agar permasalahan atau isu yang timbul dapat diselesaikan secara berakar umbi.

Di kesempatan ini juga IPeguam suka mengingatkan kepada pihak kerajaan agar penyelesaian ini dibuat mengikut kes-kes tertentu yang tidak memerlukan pindaan kepada Akta 164 sehingga mengesani masyarakat secara umumnya. Pihak kerajaan juga digesa agar berhati-hati dengan cubaan licik pendukung liberal sekular untuk menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kewajaran Mahkamah Syariah selaku institusi yang mampu mengurus tadbir hal ehwal perundangan Islam juga sebagai pelindung hak-hak umat Islam khusus dalam aspek undang-undang peribadi, kekeluargaan, harta pusaka dan sebagainya.

Akhir kata, IPeguam menggesa agar pihak kerajaan mempertimbangkan semula cadangan pindaan tersebut khususnya Seksyen 3 dan Seksyen 51 berdasarkan penjelasan dan alasan yang dikemukakan dalam kenyataan ini.

IPeguam memuji sikap proaktif pihak kerajaan untuk menyelesaikan konflik yang wujud sekitar isu pertukaran agama anak-anak secara unilateral ini. Namun begitu, hasrat murni ini hendaklah dilaksanakan mengikut lunas dan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sistem dwi-perundangan supaya “win-win solution” dapat direalisasikan.

Ternyata, RUU164 bukanlah satu penyelesaian yang baik bahkan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *