Provokasi senator Australia gesa haram jilbab dikecam

CANBERRA, 25 Zulkaedah 1438H, Jumaat – Dalam usaha berkempen supaya kerajaan mengharamkan pemakaian jilbab di Australia, seorang senator yang melakukan provokasi menerima kecaman daripada ahli politik lain di Parlimen, hari ini.

Pauline Hanson, pemimpin kumpulan anti-Muslim dan parti One Nation, memakai pakaian hitam menutup seluruh badannya dan berjilbab di dalam Parlimen Australia selama 10 minit sebelum membukanya.

Sebagai peminat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Hanson mendakwa ramai rakyat Australia yang mahu supaya kerajaan mengharamkan jilbab dan burqa.

Bagaimanapun, kenyataan daripada Peguam Negara George Brandis mendapat tepukan ahli Parlimen lain apabila mengatakan kerajaan Australia tidak akan mengharamkan jilbab dan burqa.

Beliau juga mengkritik Hanson dan menyifatkannya sebagai melakukan aksi untuk menyinggung perasaan umat Islam Australia.

Profesor Politik Islam dan Antarabangsa Universiti Deakin, Greg Barton berkata, gesaan Hanson supaya jilbab dan burqa diharamkan tidak mendapat sambutan rakyat Australia.

“Pauline Hanson mempunyai rekod buruk yang lama membenci orang Asia, pendatang dan Orang Asli Australia dan perbuatannya adalah aksi murahan. Mujur, dia tidak bercakap bagi pihak majoriti rakyat Australia,” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *