Melayu Islam mesti kekal sebagai peneraju pemerintahan Malaysia

BANGI, 26 Zulkaedah 1438H, Sabtu – Melayu Islam yang menjadi bangsa dominan di Malaysia mesti kekal menerajui pemerintahan negara, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, ulama Islam berpegang kepada konsep dominan kaum dalam kepimpinan negara dengan sifat anjal dan fleksibel kerana perubahan dunia, di mana Ketua Negara Islam mengalami perubahan mengikut dominan kaum yang menganut Islam.

Oleh itu, katanya, dalam politik Malaysia, hendaklah diambil kira Bumiputera Melayu beragama Islam yang menjadi kaum dominan dilantik sebagai tonggak kepimpinan negara dengan peneguhan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara dan Raja Berperlembagaan yang terdiri daripada penganut Islam Melayu.

“Begitu juga jawatan teras dalam negara seperti Bidang Kehakiman, Pentadbiran, Keselamatan dan Pertahanan kerana kehaibatan dan keunggulannya di kalangan rakyat sangat penting. Kehaibatannya hilang sekiranya berada di tangan kalangan kaum yang tidak dominan.

“Kaum lain yang beragama bukan Islam sepatutnya tidak merasa khuatir dengan adanya jaminan keadilan dan hak mengikut Al-Quran dan Perlembagaan Negara yang sentiasa diislahkan. Sebaliknya kalau aspek ini diganggu boleh mengancam kedudukan semuanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun berkata, apa yang membimbangkan sekarang ini ialah keberanian melulu di kalangan parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar kedudukan Islam, Raja dan hak istimewa yang boleh mencetuskan ketegangan yang merosakkan hubungan yang telah terjalin dengan baik.

Begitu juga, katanya, ada kalangan orang Islam yang bebal beraliran bebas setelah kehilangan jati diri Islam dan kebangsaannya turut berperanan merosakkan konsep dan peranan dominasi ini.

“PAS menegaskan bahawa Melayu Islam yang wajib diperkasakan politiknya bersama Islam, adalah teras kepada negara Malaysia bermasyarakat majmuk dan menjadi tonggak kepimpinan negara, kerana Melayu adalah dominan dan Islam itu adil terhadap semua dengan kewajipan beraqidah Islam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *