Makanan tak bersih: Kantin HTAR diarah tutup 15 hari

SHAH ALAM, 26 Zulkaedah 1438H, Sabtu – Tular klip video berdurasi selama 32 saat itu, yang menunjukkan seekor tikus sedang memakan sayur sudah dimasak yang dihidangkan kepada pelanggan, kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, diarah tutup selama 15 hari.

Walaupun, tidak pasti di mana klip video itu dirakam, Jabatan Kesihatan Selangor telah melakukan siasatan dan pemeriksaan di kantin itu sebagaimana didakwa.

Pemeriksaan mendapati pengusaha kantin terbabit tidak mengamalkan penyediaan makanan yang bersih.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, penutupan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Notis arahan penutupan berkenaan dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang pada 2 petang selepas pemeriksaan dilakukan susulan video seekor tikus berada di dalam bekas sayur yang dihidangkan kepada pelanggan, tular di laman media sosial.

Katanya, PKD Klang telah melakukan pemeriksaan dan tindakan diambil berdasarkan status kebersihan kantin berkenaan.

“Agak sukar untuk pastikan di mana rakaman video berkenaan diambil. Bagaimanapun, PKD akan menjalankan siasatan dengan terperinci,” katanya

Dr Zailan berkata, walaupun arahan penutupan berkenan adalah sehingga 1 September, kantin berkenaan boleh beroperasi semula lebih awal jika ia dibersihkan segera dan pihak PKD berpuas hati dengan kerja-kerja pembersihan yang dibuat. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *