Keputusan siasatan FGV hujung Ogos

SEPANG, 27 Zulkaedah 1438H, Ahad – Siasatan dalaman Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berkaitan hutang tertunggak Safitex Trading LLC dijangka dimuktamadkan hujung bulan ini.

Pengerusi FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob memberitahu, siasatan akan diteruskan pada 24 dan 25 Ogos ini dengan memanggil pegawai tertinggi yang terbabit.

“Tiga individu pertama sudah memberikan keterangan kepada ahli panel. Hanya tinggal seorang lagi yang belum selesai. Keputusan mengenai perkara ini dijangka akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini,” katanya.

Jelas Sulaiman, keputusan hanya dibuat selepas hasil siasatan dibincangkan Lembaga Pengarah FGV dan lembaga pengarah akan menentukan tindakan lanjut.

“Sekiranya tiada kesalahan dan individu terbabit tidak bersalah, maka tiadalah. Proses yang berjalan ketika ini adalah satu mekanisme terbaik dalam pelaksanaan tadbir urus yang adil dan dilakukan secara profesional,” katanya.

Pada Jun lalu, empat individu penting FGV termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung tunggakan hutang yang diberikan kepada syarikat Safitex yang didakwa melanggar peraturan FGV.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *