Kekacauan Nothing to Hide 2.0 cubaan cederakan Tun Dr Mahathir

SHAH ALAM, 20 Zulkaedah 1438H, Ahad – Ada cubaan untuk menyerang dan mencederakan Tun Dr Mahathir Mohamad pada program Nothing to Hide 2.0 di sini, hari ini, kata Ketua Angkatan Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Memberitahu sidang media selepas kekecohan yang berlaku petang ini di Dewan Raja Muda Musa di sini, beliau berkata, ada pihak yang merancang mensabotaj program berkenaan sejak awal.

Beliau berkata, kumpulan itu menyamar menjadi ahli Bersatu dengan memakai T-shirt Armada, dan kebanyakan mereka berusia dalam lingkungan 20-an.

Katanya, kejadian itu berlaku sejam selepas program bermula dan ketika bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu sedang menjawab pertanyaan peserta.

“Ada arahan dalam diam untuk membuat kacau dengan membaling kerusi, suar, kasut dan botol air ke arah Tun.

“Siapa yang datang bawa suar ke program? Selepas membuat kacau program, mereka lari keluar sambil membuka baju Armada,” katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis akan dibuat berhubung kejadian itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *