Isa Samad bebas dengan ikat jamin RM150,000

PUTRAJAYA, 27 Zulkaedah 1438H, Ahad – Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad bebas daripada tahanan reman hari ini dengan ikat jamin RM150,000 dan dua penjamin.

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin mengeluarkan perintah tamat reman di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memohon lanjutan reman.

Isa berbaju oren kelihatan tidak bergari tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya jam 9.50 pagi tadi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan menerima suapan.

Isa ditangkap selepas memberi keterangan lanjut berhubung pembelian dua hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015 kepada SPRM kira-kira jam 4.24 petang semalam.

Isa adalah antara individu yang termasuk dalam senarai individu utama untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung pembelian hotel berkenaan.

Sebelum ini, tiga individu penting membabitkan bekas Ahli Lembaga Pengarah FIC, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid dan Datuk Dr Omar Salim serta Pengarah FIC, Datuk Nik Azman Mohamed Zain dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *