Fun Ride I-Medik: Pasangan suami isteri, empat anak curi tumpuan

Oleh Athirah Huda Zalhe

KOTA BHARU, 26 Zulkaedah 1438H, Sabtu – Peserta suami isteri dari Dungun, Terengganu berjaya mencuri tumpuan Ismaweb.net dan peserta lain apabila turut sama membawa empat anak mereka menyertai program Kayuhan Berbasikal Sihat Tanpa Tembakau dan Vape (S2TV) di sini, hari ini.

Membawa empat orang anak yang masih kecil, tidak menjadi halangan kepada pasangan Mohammad Nor Bakri Shafe, 33, dan isteri, Nurul Nadia Zulkipli, 32.

Nurul Nadia ketika ditemui Ismaweb.net berkata, beliau bersyukur dapat menamatkan kayuhan bersama dengan suami serta empat anak mereka, meskipun terpaksa beberapa kali berhenti.

Pasangan itu membawa anak mereka Yusuf Fashohat, 7 tahun; Maryam Solehah (6 tahun); Thoriq Yusuf (3 tahun); dan Khaled Yusuf (setahun).

Beliau berkata, apa yang penting adalah tolak ansur yang diperlukan antara satu sama lain dalam memastikan proses kayuhan sepanjang program ini berjalan lancar.

“Suami sangat bersungguh-sungguh nak menyertai program hari ini dengan membawa anak-anak. Biasanya kami kayuh santai sahaja, sekadar riadah.

“Anak-anak dah terbiasa untuk duduk di teksi-basikal, cuma untuk waktu begini, kita perlu layanlah mereka seperti sediakan air dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Nor Bakri berkata, beliau bersemangat untuk membawa anak-anak menyertai sama sebagai memberi pendedahkan kepada mereka mengenai tempat orang.

“Bagaimanapun cabaran yang paling jelas adalah bukit, saya jangka fun ride hari ini hanya melalui jalan rata, tetapi ada tiga dan empat bukit yang mencabar ditambah dengan membawa anak-anak.

“Namun, penganjuran hari ini cemerlang, daripada awal tiada masalah. Trafik juga cemerlang,” katanya.

Program konvoi berbasikal anjuran Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) dan Masjid Telipot Kota Bharu itu, disertai oleh 2,020 peserta dari pelbagai lapisan usia masyarakat dan kaum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *