Enam belas pasukan rebut Piala Presiden Isma 2017

Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

KAJANG, 26 Zulkaedah 1438H, Sabtu – Sebanyak enam belas pasukan bakal berentap di Kejohanan Piala Presiden Isma 2017 pada 16 September akan datang.

Semua pasukan mewakili Isma negeri-negeri termasuk pasukan jemputan, Azzahrah FC dan Pejuang FC telah diundi untuk berada di dalam empat kumpulan pada majlis pengundian di sini hari ini.

Presiden Kelab Bolasepak Isma (Isma FC), Haji Mohd Tahir Hamdan dalam ucapannya berkata, penganjuran pada tahun ini sedikit berbeza kerana akan diadakan di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Pemilihan lokasi ini menunjukkan kesungguhan kita mengangkat kejohanan ini ke tahap lebih tinggi. Kita juga menetapkan setiap pasukan melantik jurulatih berlesen C,” katanya sebelum melancarkan logo baru Isma FC.

Pengundian pembahagian kumpulan telah disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Ikhlas, Dato’ Rosli Mohd Ramli, Ketua Pemuda Isma Muhammad Farid Hussin, Setiausaha Isma FC Hj Abdul Razak Jantan sambil disaksikan oleh pengurus-pengurus pasukan.

Pengarah kejohanan, Shahrudin Mt Dali berkata, akan turut dianjurkan ialah acara sepakan penalti untuk kanak-kanak bertujuan mengasah bakat anak kecil dan menarik kehadiran pengunjung yang lebih ramai.

Pengurus Isma Selangor FC, Mohd Hazwan Abd Halim ketika diminta mengulas kedudukan pasukannya dalam kumpulan A bersama Isma Pahang FC, Isma Kedah FC dan Isma Melaka FC berkata, pasukannya meletakkan fokus 100 peratus pada latihan dan tidak gentar untuk berdepan dengan mana-mana pasukan bagi mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada kejohanan sulung tahun lepas.

Berikut ada keputusan undian pembahagian kumpulan:

Kumpulan A
Isma Selangor FC
Isma Pahang FC
Isma Kedah FC
Isma Melaka FC

Kumpulan B
Azzahrah FC
Isma Kuala Lumpur FC
Isma Pulau Pinang FC
Isma Perak FC

Kumpulan C
Isma Johor FC
Isma Sarawak FC
Pejuang FC
Isma Sabah FC

Kumpulan D
Isma Negeri Sembilan FC
Isma Kelantan FC
Isma Terengganu FC
Isma Perlis FC

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *