Bila manusia menjadi Tuhan

“MENGAPA ayah dibakar seperti ayam ibu?”. Tajuk utama yang disiarkan oleh sebuah portal tempatan benar-benar menarik perhatian untuk membaca keseluruhan isi kandungan berita itu. Sungguh kejam dan zalim! Itu sahaja yang mampu diungkap saat membaca keseluruhan laporan berkenaan.

Seorang lelaki meninggal dunia setelah dipukul dan dibakar hidup-hidup kerana disyaki mencuri tiga amplifier dari sebuah masjid di Bekasi, Indonesia. Mangsa yang dilaporkan seorang juruteknik elektronik dan pembaikan sistem bunyi dipercayai singgah di masjid berkenaan untuk menunaikan solat Asar.

Bimbang unit amplifier yang dibawanya dicuri, mangsa dipercayai mengusung alat tersebut ke dalam dewan solat. Namun, tindakan mangsa telah menimbulkan syak di kalangan jemaah di dalam masjid, yang kemudiannya dikejar penduduk kampung kerana didakwa mencuri peralatan itu.

Malangnya, mangsa ditangkap kira-kira dua kilometer dari masjid dan maut di tempat kejadian setelah dipukul dan disimbah petrol sebelum dibakar hidup-hidup.

Allahuakbar! Apakah yang sedang difikirkan oleh si pelaku yang bertindak sedemikian? Apakah sudah hilang rasa simpati atau belas kasihan? Benarlah, dunia hari ini sudah hilang perikemanusiaan, sehingga sewenang-wenangnya meletakkan hukuman dan menarik nyawa orang lain sesuka hati tanpa pembelaan.

Hanya sekelip mata, isteri ditinggalkan menanggung keluarga, anak kecil tidak lagi merasa pelukan si bapa. Betapa hancurnya keluarga melihat kematian itu yang penuh derita. Anak yang tidak mengerti apa-apa berterusan bertanya, kenapa bapanya dibakar sebegitu?

Kaku lidah seorang ibu untuk menjawab, hanya air mata saja yang bercerita.

“Suami saya manusia, bukan haiwan. Jika benar dia melakukan kesalahan, sebaiknya dia dibawa ke pihak berkuasa, bukan diperlakukan sedemikian,” luah isteri mangsa yang kesal terhadap kejadian menimpa suaminya itu.

Perkara sama juga yang berlaku di Malaysia menimpa seorang kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang meninggal dunia pada awal Ramadan lalu, akibat dipukul dan didera dengan kejam oleh rakannya kerana didakwa mencuri sebuah komputer riba.

Berita kematian Allahyarham menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar tempatan termasuk hangat diperkatakan di laman sosial. Bayangkan hasil bedah siasat Allahyarham menunjukkan beliau memiliki kesan melecur tahap dua dan tiga pada 80 peratus tubuhnya, manakala mengalami patah rusuk kiri.

Sekiranya mangsa bersalah, mereka berhak menerima hukuman namun bukan di tangan kita tetapi pihak berkuasa dan Tuhan. Tindakan itu sama sekali tidak adil, apatah lagi sekiranya mereka benar-benar tidak bersalah.

Mungkin banyak lagi kejadian lain yang sama dengan dua kes berkenaan, namun persoalannya, berhakkah kita sebagai manusia menjatuh hukum mencabut nyawa manusia lain? Siapa kita untuk bertindak demikian?

Si pelaku sudah pun diadili, dan tidak perlulah kita terus menghukum mereka mahupun keluarga mereka. Biarkan mahkamah dunia dan akhirat menilainya. Jangan kita jadi seperti mereka, bertindak mengikut nafsu amarah semata-mata, sehingga lupa kepada Allah yang memiliki segala.

Janganlah kamu pula sibuk mahu membalas dendam bagi pihak si mangsa, kerana tindakan itu juga tidak jauh beza dengan mereka.

Dalam al-Quran menegaskan, ‘Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.’ (Surah An-Nisa:93)

Semoga keadilan tiba membela kematian mereka. Al Fatihah.

Athirah Huda Zalhe
Wartawan Ismaweb.net

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *