Bank darah di Yaman kritikal, mungkin ditutup

SANAA, 19 Zulkaedah 1438H, Sabtu – Bank darah di Yaman terpaksa ditutup berikutan kekurangan dana selepas sebuah badan kebajikan perubatan membuat keputusan untuk menghentikan bantuan selama dua tahun.

Pengarah Pusat Pemindahan Darah Nasional, Dr Adnan al-Hakimi berkata, krisis bermula selepas pertubuhan kebajikan Perancis, Medecins Sans Frontiers (MSF) memaklumkan mereka akan menghentikan bantuan selepas menyumbang lebih dua tahun.

“Pusat itu terjejas akibat kekurangan bekalan termasuk cecair perubatan, beg darah dan keperluan lain.

“Bagaimanapun, kami sudah mengeluarkan rayuan kepada semua pertubuhan awam, ahli perniagaan dan sesiapa saja, membantu menyelamatkan rakyat yang sakit atau cedera supaya pusat ini tidak perlu ditutup,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kemudahan Bank Darah, Ayman al-Shihari berkata, penutupan agensi itu kelak akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada di negara tersebut.

“Kami kehabisan bekalan. Penutupan bank darah boleh membawa kepada bencana kemanusiaan di mana kemudahan ini menerima sehingga 3,000 kes sebulan,” katanya.

Kes diterima termasuk penyakit barah, talasemia, kegagalan buah pinggang dan mereka yang cedera dalam peperangan.

Setakat ini, Bank Darah Yaman masih belum mendapat bantuan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). -Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *