Anggota polis Bukit Aman mati kena tembak

ALOR SETAR, 26 Zulkaedah 1438H, Sabtu – Seorang anggota polis berpangkat Sub-Inspektor mati ditembak empat das dalam satu kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Hosba, Changlun, Kedah, semalam.

Abu Hashim Ismail, 54, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, maut di tempat kejadian selepas terkena empat daripada enam tembakan yang dilepaskan ke arahnya, kata Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff.

Beliau berkata, dalam kejadian 10.25 malam itu, mangsa sedang berbual di perkarangan rumah rakannya sebelum datang seorang lelaki yang bertindak melepaskan enam das tembakan dari luar pagar.

“Empat tembakan terkena bahagian belakang badan mangsa menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga rakan mangsa dan memburu dua lagi, masing-masing berusia 30 dan 36 tahun, bagi membantu siasatan, katanya.

“Kita percaya kejadian ini ada kaitan dengan aktiviti pembanterasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang sedang dilakukan di Bukit Kayu Hitam sejak dua minggu lalu,” katanya.

Asri berkata, polis juga percaya mangsa yang sedang bercuti pergi ke rumah rakannya itu bagi mendapatkan maklumat berkaitan kumpulan gengster dan penyeludupan di sempadan Bukit Kayu Hitam.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata, polis menembak mati seorang lelaki yang disyaki ketua kongsi gelap ‘Geng 36’ dalam kejadian jam 7.30 pagi tadi.

“Kita membuat serbuan di rumah suspek di Lagenda Heights, Sungai Petani. Selepas anggota polis memperkenalkan diri, suspek dipercayai lari ke tingkat atas rumah dan bersembunyi di dalam bilik air.

“Suspek kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah polis dan pihak polis kemudiannya melepaskan empat das tembakan yang mengenai suspek,” katanya.

Asri berkata, lelaki berusia 30-an itu disenaraikan sebagai penjenayah dikehendaki.

Pemeriksaan polis di rumah suspek menemukan tiga peket lut sinar berisi tumbuhan kering disyaki ganja seberat 62.47 gram, dua peket berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin seberat 27.8 gram dan sepucuk pistol jenis Bernardelli. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *