1MDB satu kemegahan yang akhirnya membebankan rakyat

SEBAGAIMANA diketahui umum, syarikat pelaburan negara kita yang mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk ‘kehilangan’ berbilion-bilion ringgit – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) – mesti membayar hutang firma dari Abu Dhabi berjumlah RM2.69 bilion hari ini.

Atau, mereka termasuk Kementerian Kewangan akan dikenakan tindakan oleh International Petroleum Investment Co (IPIC) kerana gagal mematuhi perjanjian.

1MDB sebelum ini mendakwa kegagalan membayar hutang itu pada 31 Julai lalu disebabkan wang yang bakal diperoleh menerusi program rasionalisasinya lewat diterima, kononnya kerana peraturan dan kelulusan, manakala Perdana Menteri pula mengatakan kelewatan itu disebabkan masalah teknikal.

Itulah jawapan yang kerap kali didengar daripada 1MDB dan Datuk Seri Najib Razak. Dari mana wang untuk membayar hutang itu akan diperoleh tidak dimaklumkan.

Mungkinkah, wang yang didakwa akan dicurahkan oleh ‘along’ menerusi projek raksasa mereka di Malaysia? Atau, terpaksa meminjam daripada agensi lain? Atau menerusi penjualan bon?

Namun, seperti orang lain, Pedang juga tidak pasti dari mana wang untuk membayar hutang itu bakal diperoleh, kerana semua urusan berkaitan 1MDB menjadi rahsia kepada umum, kecuali kenyataan dan jawapan ‘ringan’ serta tidak munasabah yang diberikan.

1MDB yang menjadi kebanggaan najib kini diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, sekali gus meletakkan beban membayar hutang berbilion-bilion ringgit, kepada rakyat.

Justeru, ada penganalisis berpendapat penjualan bon bernilai RM2.5 bilion oleh Bank Negara yang tempoh tutupnya 4 Ogos lalu, bertujuan memperoleh wang bagi membayar hutang itu.

Dibimbangi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) atau agensi lain ‘diarah’ membeli bon berkenaan, yang secara tidak langsung menunjukkan rakyatlah yang menanggung beban 1MDB.

Penubuhan 1MDB sebelum ini begitu hebat diuar-uarkan, khususnya di dalam negara, sehingga menjadi ‘anak emas’ kerajaan, kononnya ia adalah agensi pelaburan milik negara yang akan menjadi jambatan utama kepada pembangunan ekonomi.

Namun, selepas bertahun beroperasi, urusan kewangan yang ‘melayang-layang’ ke dalam akaun tertentu dan menjadi misteri, akhirnya terbongkar.

Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru, begitulah yang berlaku kepada 1MDB. Wang yang dimiliki, termasuk yang dihutang daripada pelbagai bank dan dijamin kerajaan, tidak dapat dikesan. Satu demi satu isu kontroversi terbongkar.

Hingga beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Switzerland, menjalankan siasatan, dan mengeluarkan maklumat terperinci mengenai pergerakan wang itu, selain telah menghukum individu tertentu berkaitan 1MDB. Tetapi, biasalah, komen daripada 1MDB dan kerajaan – semua itu fitnah.

Awalnya, pelbagai jawapan ‘meredakan kehangatannya’ diberikan oleh 1MDB dan kerajaan, namun perkembangan berterusan kes itu menyebabkan kerajaan mengambil keputusan menghalang isu 1MDB dibahas di Dewan Rakyat, selain meletakkan laporan audit mengenai 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Apabila wang yang didakwa dilaburkan ‘hilang’ hingga mengaitkan akaun peribadi Najib, anak tirinya dan jutawan Jho Low, pelaburan tidak menjadi, maka 1MDB ketiadaan dana untuk membayar hutang.

Lalu kerajaan menjual tanah kepada 1MDB dengan harga rendah sebelum 1MDB menjualnya pula dengan harga lebih tinggi. Begitu juga beberapa asetnya yang dibeli dengan harga tinggi, tetapi akhirnya terpaksa dijual dengan harga jauh lebih rendah, bagi memperoleh dana.

Oleh kerana 1MDB telah diambil alih oleh kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, maka adalah wajar semua urusannya dimaklumkan kepada rakyat, tidak lagi disembunyikan, kerana rakyatlah yang menanggung beban hutang itu.

Kata Pedang: Hairan kenapa isu 1MDB, terutama berkaitan wang dan pelaburan menjadi rahsia besar.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

One thought on “1MDB satu kemegahan yang akhirnya membebankan rakyat

  1. Aik. Pedang tak baca ke yg Timb Pres PAS pun puas hati dgn penjelasan dgn Arul? Jgn pandai buat fitnah jer…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *