a
Terkini
12/12/2017, 11:53 pm

Menjadikan Islam sebagai pasak dan mengekang kuasa kelima

DUA hari saya menghadiri Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat, berlangsung di Putrajaya, berakhir semalam. Konvensyen yang julung kali diadakan ini bertujuan mencari rumusan memperkukuh institusi raja-raja Melayu sebagai paksi Melayu dan Negara.

Saya tidak pernah melihat ada negara lain sama ada yang mengamalkan sistem beraja atau tidak, menganjurkan seminar sebegini kerana bangsa dan negara (raja) mereka berpisah tiada. Sudah terpahat dan terpasak.

Negara Thailand, tidak perlu kepada pasak untuk memperkukuhkan insitusi rajanya. Bangsa Siam (termasuk identiti bahasa budaya), Raja, Buddha berpisah tiada. Mereka sangat kuat berpegang kepadanya. Sejak kecil sudah diajar, dititikberatkan dan dikuatkuasakan.

Kita pula bagaimana? Jangan pergi jauh, lihat sahaja dalam soal memperkukuhkan bahasa negara, Bahasa Melayu, pun kita telah gagal memperkukuhkan pasak ini. Inikan pula pasak yang lebih besar seperti hidup di bawah naungan Raja.

Negara China tidak perlukan pasak kerana bangsa Cina sudah lama terpasak di bumi mereka, walaupun sistem beraja mereka sudah lama terhapus. Begitu juga dengan India dan pasak bangsa-bangsa lain. Pendek kata, setiap bangsa ada bumi dan tanah air sendiri dan pasak mereka sangat kukuh.

Inilah yang disebut oleh Hasan Al-Banna sebagai Qaumiyyah al-majdi. Kesayangan yang tidak berbelah-bahagi kepada bangsa dan tanah air dengan agama sebagai teras. Ada semua teras ini, terpasaklah segala-gala. Jika pudar, bala menimpa.

Cuma saya amat pelik, kenapa bangsa Melayu masih mahu memperkukuhkan pasak, sedangkan bangsa ini sudah lama terpasak dan pernah menjadi bangsa agung suatu ketika dahulu, bersama rajanya yang memeluk Islam dan berakhlak mulia.

Masalah hari ini, pasaknya menjadi longgar. Melayu mudah lupa. Melayu sudah tercabut jati diri dan adat budaya. Lebih dahsyat lagi mereka tidak mahu lagi bersatu, dan mudah terpengaruh dengan gerakan kuasa kelima (fifth power) yang sangat berbahaya.

Kuasa kelima adalah kuasa seterusnya selepas kuasa keempat media massa.

Kuasa pertama, kedua dan ketiga dirujuk kepada 1. legistlatif, 2. eksekutif dan 3. kehakiman.

Kuasa kelima merujuk kepada mereka yang terlibat dalam NGO, parti politik, dan kumpulan berkepentingan, dibiayai oleh tangan-tangan jahat, bagi menyemarakkan kebangkitan menolak kebaikan menyebarkan kejahatan iaitu agenda liberalisme, pluralisme, sekularisme dan persamaan hak. Termasuk juga mahu menumbangkan kerajaan.

Wang ditaburkan kepada gerakan ini bagi melunaskan agenda mereka. Malangnya kita mudah gentar dan tertipu, hanya kerana mahukan undi mereka. Sedangkan mereka tidak pernah mengundi kita. Mereka ini memperlihatkan diri mereka seolah-olah seperti ‘lembu suci’, pada hal mereka melakukan perkara sama. Mereka sejahat-jahat manusia.

Pengaruh kuasa kelima ini mula mengakar. Melayu mula meninggal bangsa dan agamanya. Begitu juga dengan rajanya. Kepada mereka semua ini menyusahkan. Mereka mahu bebas, sebebas-bebasnya seperti yang berlaku di Barat. Apa juga agenda Barat yang merosakkan disokong membuta-tuli sepeti seks bebas, LGBT, gerakan ateis dan sebagainya.

Malangnya, Melayu saling berpecah dan saling menyalah sesama sendiri. Apa yang dibuat semua tidak betul. Lebih menakutkan mereka sanggup bersama musuh Islam untuk menjatuh sesama saudara seagama. Apa yang dilakukan oleh saudara seagama, semua tidak betul, walaupun perkara yang dilakukan betul. Jika perkara tersebut, tidak betul, maka akan dicanangkan seluruh dunia akan ketidakbetulan. Sedangkan mereka turut melakukan kemungkaran yang sama.

Apabila keputusan mahkamah berpihak kepada mereka. Maka akan dipujinya institusi kehakiman. Jika keputusan tidak berpihak kepada mereka, maka akan dikatakan hakim-hakim makan terlebih dedak. Misalnya, isu penyambungan perkhidmatan Ketua Hakim Negara. Ada gelombang yang mahukan Ketua Hakim Negara dilantik dalam kalangan bukan Islam.

Dalam keadaan hakim-hakim kita yang beragama Islam pun keputusannya sudah menjadi cacamerba, apatah lagi jika ketuanya dilantik dalam kalangan bukan Islam. Lihat sahaja isu bin atau binti Abdullah kepada anak tidak sah taraf. Hakim yang membuat keputusan adalah orang Islam.

Lihat permainan mereka, apabila keputusan menyebelahi mereka, boleh dibin atu bintikan kepada ‘ibu bapa sebenar’ walaupun anak tidak sah taraf, maka bercananglah, bergembiralah mereka. Jika ada yang menentang, mereka dilabelkan sebagai taleban, konsertatif dan berbagai label negatif.

Sama juga isu rasuah, jika kerajaan melakukan salah laku atau rasuah, maka akan dicanangkan di seluruh dunia. Pada masa sama, mereka juga melakukan rasuah, maka akan ditutup sebaik mungkin. Malah mereka akan berkata, itu bukan salah mereka, tetapi salah kerajaan juga.

Hina sungguh golongan ini. Inilah kuasa kelima yang ada hari ini yang dahulunya saya labelkan sebagai ultra kiasu. Hari ini mereka tetap ultra kiasu. Berselindung di bawah gerakan kuasa kelima.

Kadang kala saya tidak faham dengan masalah Melayu. Apa masalah Melayu? Rajanya Melayu, PM Melayu, Menteri banyak Melayu, begitu juga Ketua Menteri dan Menteri Besar, majoriti Melayu (Islam). Ketua GLC Melayu. Pendek kata, yang berada di atas semua Melayu. Kenapa Rajanya masih perlu memperkukuh pasak?

Di mana silapnya? Justeru, kembalilah kepada pasak sebenar iaitu Islam, Melayu dan Raja berpisah tiada. Jangan pisahkan Melayu dengan Islam dan adat budayanya. Tercabut akar, hinalah Melayu.

Ingatlah kata-kata Hasan Al-Banna apabila berbicara soal Qaumiyyah al-majdi. Mulianya Arab dahulu kerana sayang mereka kepada Arab dan tanah airnya, dengan Islam sebagai teras. Arab menjadi hina apabila sesama Arab berperang hanya kerana perbezaan sempadan dan kawasan. Mereka sudah tidak memperdulikan soal bangsa, agama dan tanah air. Seratus orang Arab tidak boleh menewaskan seorang Yahudi. Inilah yang sedang melanda Melayu yang sedang mencari pasak. Sedangkan semua itu sudah terpasak.

Kesimpulannya, jika Melayu mahu selamat, pastikan Islam, Melayu dan raja berpisah tiada. Kuasa kelima yang mahukan kebaikan dam mahukan Islam Melayu dan Raja mengakar seperti Majlis Dakwah Negara, Yadim, Isma, Perkasa, Perkim dan NGO Islam lain, bersama-sama parti politik lain yang boleh dipercayai, yang tidak bersubahat dengan musuh Islam, mesti bangkit dan tidak boleh berdiam diri.

Kita mesti bersatu hati berhadapan dengan kuasa kelima jahat ini. Pada masa sama, Raja-raja Melayu jangan leka. Pastikan boleh dicontohi dan diiikuti. Mesti dapat menyelami hati nurani rakyat. Merakyatlah bersama kami, In shaa Allah, pasti pasak akan terpasak kukuh tanpa diganggu-gugat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Felo Utama Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment