Tarbiyah, ri’ayah untuk wanita


Tindakan sebuah syarikat minyak terkenal menarik balik iklan kadbod daripada terus memaparkan imej seorang wanita yang di mana beberapa orang lelaki telah memuat naik perbuatan lucah mereka terhadap gambar itu patut dipuji dan dicontohi oleh syarikat-syarikat lain mahupun badan-badan perniagaan yang lain.

Selain isu hukum- hakam yang berkaitan dengan wanita dijadikan objek pengiklanan, perbuatan lucah beberapa orang lelaki berkenaan terhadap gambar iklan kadbod itu, seperti juga perbuatan biadab terhadap gambar Yang Dipertuan Agong adalah salah satu terjemahan kepada kekontangan nilai-nilai akhlak Islam dan adab ketimuran yang semakin menular di kalangan rakyat negara ini. Ini adalah sebahagian tempias kepada ledakan seruan membebaskan diri dari ikatan agama,tradisi dan adab ketimuran untuk menyahut dan seiring dengan gerakan membebaskan diri dari sekatan-sekatan agama, budaya dan adat ketimuran versi barat. Sedangkan agama, budaya dan sebahagian adat ketimuran inilah yang memberikan identiti unik kepada rakyat Malaysia selama ini. Mereka boleh hidup saling memghormati sesama mereka.

Rupa-rupanya wanita juga dimasukkan ke dalam pakej yang sama iaitu mesti dibebaskan daripada apa yang mereka istilahkan sebagai ikatan-ikatan mahupun sekatan-sekatan agama, budaya mahupun tradisi sehingga pergi sangat jauh ke peringkat mewajarkan hubungan sesama jenis termasuklah perempuan sesama perempuan (lesbian).

Acapkali telah diulang-ulang bahawa pembebasan Islam terhadap wanita dan pengangkatan darjat mereka sangat jelas dan terang . Hal ini dipertegas dalam firman Allah Al Qur’an surat At taubah ayat 71, yang ertinya: “Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma’ruf, mencegad dari yang mungkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan rasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

Lelaki dan wanita dalam ayat tersebut memiliki peranan yang sama di hadapan Allah SWT, kedua-duanya sama-sama sebagai makhluk dan hamba Allah, sehingga hak dan kewajiban yang diberikan sesuai dengan naluri serta kemampuan masing-masing.

Ajaran Islam secara tegas menjelaskan bahwa lelaki dan wanita di hadapan Allah adalah sama kedudukannya, terutama dalam melakukan perbuatan baik, hal ini sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah surat An Nahl ayat 97 yang ertinya: “Barangsiapa mengerjakan amal saleh baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih dari apa yang telah mereka kerjakan”

Ayat tersebut membawa makna bahwa Allah SWT memerintahkan umat manusia (tanpa mengira lelaki atau wanita) agar selalu berusaha melakukan kebaikan kepada siapa saja, sehingga dapat mencapai kedudukan yang mulia dan terhormat di hadapan Allah SWT.

Wanita adalah senjata bermata dua, jika ia baik melaksanakan tugas pokok dan fungsinya sebagaimana yang telah digariskan, bererti ia adalah bangunan berkualiti untuk membangun masyarakat yang Islami, kukuh, dan berakhlak luhur. Islam secara serius dan intensif di dalam memberikan perhatian dan mendayaupayakan kaum wanita. Mengajar wanita dengan tarbiyah (pendidikan) dan ri’ayah (pengawasan), memerintahkan untuk memberikan hak sesuai fitrahnya, hal ini tidak pernah diberikan oleh satu umat pun di sepanjang sejarah dunia .

Feminisme Islam sepatutnya jelas berbeza dengan feminisme yang berasal dari barat, karena di dalamnya mengandung karakteristik Islami yang bersumber pada kitab suci Al Qur’an dan sabda Nabi Muhammad SAW dalam al hadis.

Feminisme Islam bertujuan positif, karena pergerakan ini akan berusaha mewujudkan satu masyarakat yang adil, baik bagi kaum lelaki maupun wanita dalam berbagai bidang kehidupan sosial kemasyarakatan sesuai dengan ajaran Islam dan bukannya berkiblatkan perjuangan feminisme barat.

Semua pihak wajib jujur untuk memastikan wanita tetap terbela. Isu-isu eksploitasi wanita sebagai elemen pelaris utama produk dan perkhidmatan di dalam iklan-iklan adalah satu daripada ribuan contoh isu pembelaan kepada wanita yang sering disalah tanggapi.

Persoalannya adakah menjadi satu hak bagi wanita untuk diperlakukan sebagai pelaris barangan dalam iklan atau ia telah termasuk di dalam perangkap mengekspolitasi wanita. Jika ditelurusi dari kerangka faham islami maka kita akan temui jawapannya.

Timbalan Mufti Perak
Ustaz Zamri Hashim

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

 

One thought on “Tarbiyah, ri’ayah untuk wanita

  1. Setuju; cuma penggunaan iklan kadbod tu sebagai contoh adalah tidak berapa sesuai, pada pandangan saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *