Kerja syif sektor kesihatan awam punca cerai: Cuepacs

KUCHING, 23 Syawal 1438H, Isnin – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati, waktu kerja syif dalam sektor kesihatan awam menyumbang kepada kadar perceraian paling tinggi berbanding sektor pekerjaan awam lain.

Menjelaskan perkara itu, Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kerja sehingga tiga syif menyebabkan tahap kepercayaan terhadap pasangan semakin menipis sehingga menjurus kepada perceraian.

Bagaimanapun, Azih tidak menyatakan statistik kadar perceraian yang didakwa.

“Kalau dulu rasa cinta 100 peratus, lama kelamaan rasa cinta terhadap pasangan semakin berkurang.

“Statistik yang kita dapat menunjukkan pekerja sektor kesihatan merekodkan kadar perceraian tinggi.

“Sudahlah kena kerja syif, elaun pula tidak dibayar sebaliknya diganti dengan cuti ganti. Buat apa cuti ganti, cuti yang dulunya pun belum ambil,” katanya selepas menghadiri Bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam Sarawak, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ada sektor awam tidak lagi membayar elaun dan kerja lebih masa, manakala sebahagian pula sekadar membayar separuh, satu pertiga atau tiga perempat daripada jumlah sebenar elaun yang ditetapkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *