Isu memelihara anjing: Jangan berhelah dalam mengambil pandangan ulama

Apabila kita dirundung masalah tertentu dan melibatkan perihal hukum hakam dalam perbuatan, seringkali kita akan merujuk orang yang lebih arif atau ustaz untuk menentukan apakah hukumnya dalam keadaan-keadaan tersebut.

Lalu apabila kita mendapat jawapan, adakah kita akan beramal dengan ‘fatwa’ orang yang lebih arif tadi atau tidak ? Jawapannya kembali kepada keimanan kita. Jika niat di hati memang bertanya untuk patuh kepada wahyu, maka kita akan ikut. Tetapi jika niat di hati untuk memenangkan kehendak peribadi, maka kita mungkin akan mencari pandangan lain yang kononnya lebih ringan untuk memenuhi tuntutan nafsu kita.

Atas sebab itu Imam Asy-Syatibi menyebut : Memberi pilihan kepada orang yang bertanyakan fatwa adalah bercanggahan dengan maqasid syarak.

Ini kerana orang awam yang tidak mempunyai ilmu akan memilih pandangan yang lebih disukai hawa nafsunya, bukan atas dasar disiplin ilmu.

Sepertimana beliau juga menyebut ciri-ciri ‘alim rabbani adalah orang yang :

  1. Menjawab soalan bersesuaian dengan kondisi orang yang bertanya
  2. Melihat kepada ‘ma’aalaat’ (natijah/penghujung) terhadap perkara yang ditanya, sebelum menjawab persoalan.

Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas pernah ditanya ;

Apakah hukum orang yang membunuh ? Adakah baginya taubat ? Beliau RA menjawab : Tidak ada taubat baginya. Lalu orang yang bertanya itu pun beredar. Mendengarkan jawapan itu, sahabat-sahabatnya bertanya, bukankah semalam (pada majlis semalam) engkau katakan ada taubat bagi pembunuh ? Beliau RA menjawab : Aku katakan demikian pada hari ini kerana aku dapati dia yang bertanya sedang dalam keadaan marah. Cuba ekori langkahnya. Apabila sahabat-sahabatnya mengekorinya ternyata orang yang bertanya itu memang ada masalah dengan jirannya dan mahu membunuhnya, namun jawapan Ibnu Abbas RA telah menghalangnya daripada melakukan dosa besar itu.

Kalaulah Ibnu Abbas RA seorang yang lurus bendul, pasti beliau akan menjawab bahawa berdasarkan semua nas Al-Quran dan hadis semua dosa itu akan diampunkan Allah SWT apabila si pelaku benar-benar bertaubat dan ikhlas, atau rahmat Allah lebih besar daripada dosa hamba-Nya, atau pembunuh 100 orang pun dimasukkan ke dalam syurga seperti dalam satu hadis, atau penzina pun masuk syurga hanya kerana bagi minum air kepada anjing, atau sebagainya yang hanya menjadikan si penanya soalan lebih cenderung untuk menuruti nafsunya dalam mentakwil jawapan-jawapan penuh ilmiah itu dan nescaya tertumpahlah darah seorang muslim akibat jawapan lurus bendulnya itu.

Namun beliau RA cukup memahami waqi’ dan realiti semasa hinggakan beliau memberikan jawapan tepat yang boleh menjadikan seseorang itu sentiasa tetap di atas landasan syariah, bukan dijawab dengan jawapan literal dan tidak pula menjadi lurus bendul semata-mata berpegang dengan teks tanpa perkiraan-perkiraan lain yang tidak kurang pentingnya dalam sesuatu fatwa.

Asy-Syatibi menyebut ;
Maqasid syarak dalam penurunan syariat adalah mengeluarkan seseorang mukallaf daripada runtunan hawa nafsunya, hinggalah dia menjadi hamba Allah secara ‘pilihan’ (by choice) sepertimana dia adalah hamba Allah secara terpaksa (by chance).

Isu asas dalam ‘tadayyun’ (beragama) adalah kepatuhan kepada Tuhan. Mana-mana masalah jika tidak didasarkan kepada ketundukan dan kepatuhan kepada Tuhan akan caca-merba dan saling bertentangan kerana ia didasari nafsu yang tabiatnya berbolak balik dan tidak tetap walaupun dia mendakwa perbuatannya itu ada sudut pandangan ulama’ yang membenarkannya.

Manakala tujuan utama pensyariatan fatwa adalah melorongkan manusia untuk kekal di atas landasan syarak, bukan semata-mata memberitahu maklumat atau perselisihan para ulama’ dalam satu-satu masalah lalu memeningkan masyarakat terhadap isu yang lebih utama.

Isu memiliki anjing tanpa sebab syarie baru-baru ini telah mendapat respon daripada ramai pihak, banyak yang mengkritiknya, sesuai dengan saranan fiqh Syafie, namun ada juga yang cuba memberikan helah dengan menaqalkan pandangan ulama’ semata-mata mahu melegalisasikan perbuatan itu dalam syarak.

Isu ini sepatutnya ditanggapi secara menyeluruh dan teliti, jangan bermudah-mudah dalam memberikan pandangan ulama’ yang khusus kepada masyarakat awam yang tidak pun memahami asas-asas fiqh apatah lagi disiplin ilmu syarak. Memberikan pandangan yang syaaz dalam ruangan yang penuh syubhat dan fitnah hanya menggalakkan masyarakat untuk melakukan perbuatan yang salah berbanding mengikut landasan syarak yang betul.

Masyarakat perlu dilorongkan atas landasan yang memenuhi citarasa syariat dan menambahkan kepatuhan kepada Tuhan, bukan lorong gelap yang dihiasi kesesatan hawa nafsu dan perhiasan syaitan.

Walaupun kita mungkin tidak memiliki cop pengesahan ahli syurga atau neraka, atau surat mendapat pahala dan dosa, tapi janganlah kita pula yang membuka pintu helah bagi orang yang mahu melakukan dosa kerana seburuk-buruk manusia adalah yang menjadi kunci pembuka kepada keburukan dan penutup kepada kebaikan.

Wallahua’lam.

Ust Ahmad Syamil bin Mohd Esa

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

3 thoughts on “Isu memelihara anjing: Jangan berhelah dalam mengambil pandangan ulama

  1. Sebenarnya musuh-musuh Islam yang terdiri dari puak munafik liberal dan kafir harbi sedang melakukan proses membiasakan umat Islam dengan pelbagai bentuk kemungkaran dan kesesatan supaya mereka boleh menerima kemungkaran dan kesesatan sebagai suatu perkara biasa.

    Apabila umat Islam mula menerima kemungkaran dan kesesatan sebagai perkara biasa, umat Islam tidak menentang usaha-usaha puak munafik liberal dan kafir harbi untuk menyesatkan umat Islam dan memusnahkan agama Islam.

  2. tok lebai janggut

    Di situlah letaknya perbezaan antara orang yg ahli fiqh berbanding org yg belajar hadis kemudian mengeluarkan fatwa secara zahir hadis shj tanpa mengambil kira faktor2 lain terutama perkara yg tersirat disebalik sesuatu hukum tersebut.
    Di Malaysia sudah ramai golongan muda yg kononya mengaku mengikut sunnah.atau ikut hadis telah mengambil manhaj secara literal dan berani menyanggah fatwa2 ulama muktabar semata2 kerana dilihat fatwa tersebut seolah2 bertentangan dgn hadis sahih atau berdasarkah hadis yg dianggap dhaif.
    Maka lahirlah baru2 ini pendapat2 yg berlawanan dgn fatwa jumhur ulama spt:
    1. Tidak wajib qadha’ solat yg ditinggalkan secara sengaja atau tidak.
    2. Selepas solat tidak perlu berzikir dan baca fatihah.
    3. Tidak boleh ziarah kubur dan membaca alQuraan di kuburan.

    Itu sekadar beberapa contoh akibat dari sikap memandang remeh pandangan ulamak muktabar dan merasakan diri lebih memahami hadis Nabi saw. Ya mereka memahami hadis secara literal tetapi mereka bukan ahli fiqh yg memahami syariat dan roh syariat. Mereka ibarat org yg kailnya panjang sejengkal tapi ingin menduga lautan yg dalam.

  3. Di akhir zaman ini, sebilangan manusia jahil dan sesat berlagak bodoh sombong dan angkuh kerana mereka suka mempertikai dan menolak fatwa-fatwa yang telah dibuat oleh majlis fatwa untuk menyelesaikan masalah-masalah baru yang tiada nas atau dalil yang jelas .

    Sebenarnya manusia jahil dan sesat tersebut telah menzalimi diri mereka sendiri apabila mereka mempertikai dan menolak fatwa-fatwa yang telah dibuat oleh majlis fatwa kerana majlis fatwa terdiri dari para ulama Islam dan mufti yang mempunyai kepakaran dalam agama Islam dan pakar-pakar dalam bidang yang berkaitan dengan masalah atau isu yang dikaji.

    Fatwa merupakan ijtihad ulama dan satu-satunya kaedah yang boleh digunakan untuk menentukan hukum bagi masalah-masalah baru yang tiada nas atau dalil yang jelas. Dan ingatlah Rasulullah s.a.w. telah memuliakan para ulama Islam dengan gelaran Pewaris Nabi kerana mereka layak meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. dan berperanan sebagai Mufti kerana Nabi Muhammad s.a.w. sendiri adalah mufti yang unggul. Contoh:

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu ….. ” (an-Nisa’ 176 ).

    Jika puak jahil dan sesat mempertikai dan menolak ulama dan fatwa, maka fatwa siapa mereka mahu terima dan ikuti? Adakah mereka mahu menerima ‘fatwa’ yang telah dibuat oleh paderi, sami, rabbai, pemimpin Yahudi Zionis dan Kristian Zionis dll?

    Jika mereka mendakwa diri mereka beragama Islam, sepatutnya mereka menerima pakai fatwa-fatwa yang telah dibuat oleh ulama Islam, mufti dan pakar-pakar yang berkaitan dalam maljis fatwa !!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *