Chechnya bukan tempat tinggal golongan gay

CHECHNYA, 23 Syawal 1438H, Isnin – Pemimpin Islam Chechnya menolak dakwaan laporan bahawa terdapat lelaki gay terbunuh di negara itu, sekali gus nafi wujud golongan berkenaan (gay).

“Tiada golongan gay di negara ini!,” demikian tegas Ramzan Kadyrov sebagai menolak laporan berita mendakwa penganiayaan komuniti homoseksual di negara majoriti Islam itu.

Akhbar Novaya Gazeta pada April melaporkan, lebih 100 lelaki gay dikurung dan diseksa di negara itu.

Dalam laporan berlainan dipetik Sky News mendakwa, seorang lelaki (gay) terpaksa melarikan diri dari Chechnya selepas polis datang mengesannya di rumah.

Sebelum ini, aktivis hak asasi manusia PBB berkata bahawa golongan gay dan biseksual di Chechnya hidup dalam ketakutan ekoran penegasan homofobia (diskriminasi terhadap LGBT) oleh pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, Ramzan dalam satu wawancara sebuah stesen televisyen menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

“Kita (negara) tidak mempunyai golongan gay. Sekiranya ada, hantar mereka ke Kanada,” katanya.

Beliau menyifatkan pihak yang membuat dakwaan dan tuduhan berkenaan sebagai ‘dajal’, dan berkata republiknya tidak mempunyai fenomena yang disebut ‘orientasi seksual’ itu.

“Tuhan mengutuk mereka kerana menuduh sedemikian terhadap kita. Manusia hidup beribu tahun mengikut aturan berbeza yang ditetapkan oleh Allah,” katanya.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *