Biarlah Pedang cauvinis, ekstremis membela Islam….

…daripada menjadi pembisik-pembisik Syaitan

GELARLAH apa pun. Cauvinis Islam dan Melayu, ekstremis Islam dan Melayu. Pedang yakin Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) tidak pernah menyimpang daripada berjuang apa sahaja demi mempertahankan dan memartabatkan kedaulatan Islam dan Melayu, di negara ini.

Sekecil-kecil masalah seperti merokok dan menutup aurat atau isu tempatan lain, hinggakan kepada masalah antarabangsa berkaitan Islam sentiasa mendapat perhatian pergerakan ini.

Isma adalah sebuah gerakan Islam yang dinamik, sederhana dan progresif. Memperjuangkan perjuangan Melayu atas dasar dan prinsip Islam, bukan asabiah taksub, kebodohan dan sempit. Menolak asbiah bangsa yang memecahbelahkan sesama umat Islam, menolak fahaman merasiskan perjuangan bangsa atas dasar humanisme sekular Barat.

Isma memperjuangkan nasionalisme Melayu atas prinsip Islam yang menganjurkan fahaman pertengahan dan sederhana. Memperjuangkan nasionalisme Melayu kerana ia adalah tangga kepada penegakan negara dan tamadun Islam di Malaysia sebagaimana telah tertegak suatu masa dahulu.

Isma juga mempertahankan nasionalisme kedaulatan negara dan kebebasan dasar berasaskan kepentingan nasional, tidak mahu politik dan pentadbiran negara berkiblatkan kepada kuasa asing atau kepentingan kapitalis antarabangsa yang memang mahu menghancurkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai Isma boleh layari http://isma.org.my/v2/buku-pengenalan/.

Bagi Pedang, biarlah kami digelar cauvinis yang mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sifat yang menunjukkan pendirian atau semangat yang keterlaluan (melampau) dalam memperjuangkan kepentingan kaum atau golongan tertentu.

Digelar ekstremis (orang atau golongan) yang sikapnya (pendiriannya) dalam sesuatu hal (seperti politik) melampaui batas kesederhanaan, pelampau, pun tidak mengapa.

Kalau ada 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan 99 yang hanya tunduk mengangguk, biarlah kami menjadi kumpulan yang melawan, yang menyedarkan umat Islam sesungguhnya kami adalah pembela-pembela Islam sebagaimana diperintahkan Allah Taala. Pedang tidak takut mati kerana Allah.

Memang benar, ismaweb.net di bawah Isma yang juga gerakan sukarela dan NGO. Perjuangan kami tetap sama – Islam dan Melayu. Jika ada pihak, individu atau kumpulan atau portal berita yang mahu mengatakan ismaweb.net atau Pedang sendiri sebagai cauvinis dan ekstremis, baguslah.

Portal-portal liberal dan sekular yang pernah memetik apa yang Pedang kata dan menjadikannya berita hendaknya lebih faham, Kata Pedang, bukannya pendirian atau suara rasmi Isma. Jangan selalu putar belit (spin).

Apa salahnya menjadi satu-satunya NGO dan portal berita cauvinis dan ekstremis – kerana berjuang untuk Islam dan Melayu, daripada menjadi puak liberal dan sekular, yang secara diam dan keji berusaha memburuk-burukkan Islam, yang sentiasa mencetuskan isu supaya Islam dipandang hina, Islam dipandang tidak baik.

Malah, yang tolong menyebarkan supaya Islam dipandang hina dan tidak baik itu dilakukan oleh mereka yang beragama Islam sendiri, yang bersolat dan dalam solatnya membaca ‘tunjukilah kami jalan yang lurus’, ‘(yaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat’.

Mereka adalah pembisik-pembisik munafik yang sentiasa mengungkapkan kalimah-kalimah indah untuk mengelirukan umat Islam. Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya…..” (Al-An’am ayat 112)

Sedih, namun itulah ujian bagi umat akhir zaman ini. Dan, Pedang serta rakan-rakan yang dianggap cauvinis serta ekstremis akan tetap membela agama Allah. “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Muhammad, ayat 7)

Pedang bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada senjata untuk berjuang demi Islam dan Melayu. Dan Pedang tidak takut untuk menjadi cauvinis atau ekstremis, demi sebuah perjuangan membela Islam dan Melayu. Berjihad demi Islam, tidak semestinya mengangkat senjata.

Sebab itu, jika ada pihak yang memburuk-burukkan Islam, Pedang akan balas balik kata-kata mereka. Dan, sudah tentu ada orang Islam sendiri yang liberal seperti Ketua Wanita PAN, Siti Mariah Mahmud, seorang lulusan universiti di Arab; G25 atau Sister In Islam, tidak suka cara Isma, ismaweb.net atau Pedang bertindak.

PAN ini sebuah parti politik iaitu Parti Amanah Negara, tapi Pedang bagi singkatan PAN, bukan Amanah. Kerana, belum tentu mereka ini ‘amanah’. Lagipun, sejarah mereka membuktikan mereka ini tidak amanah apabila pemimpinnya termasuk Siti Mariah, keluar daripada PAS, walaupun menjadi wakil rakyat atas tiket PAS – tak amanah terhadap pengundi yang meletakkan amanah membela mereka menerusi PAS.

Pedang hairan bagaimana, seorang berpendidikan tinggi hingga ada gelaran ‘Dr’ boleh mengeluarkan kenyataan “Bila masyarakat kita menerima taraf wanita sama dengan lelaki, maka kita tak boleh menghalang wanita daripada menjawat pekerjaan yang dianggap halal oleh masyarakat.”

Kenyataan itu dimuat naik dalam portal liberal Free Malaysia Today (FMT), selepas FMT memutarbelit kenyataan Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, berkaitan isu iklan kadbod Shell.

“…maka kita tak boleh menghalang wanita daripada menjawat pekerjaan yang dianggap halal oleh masyarakat.” Inilah kenyataan seorang pemimpin beragama Islam yang tidak berlandaskan Islam, sedangkan Islam tidak menghalalkan perbuatan haram. Halalkah menayang badan kepada bukan mahram?

Wahai Siti Mariah! Apakah hukum seorang lelaki atau wanita Islam menjadi jurujual di sebuah kedai runcit yang juga menjual arak? Pedang bimbang, jika orang seperti Siti Mariah dan PAN mentadbir negara, Islam akan diliberalkan dan disekularkan.

Maka, ramailah lelaki beriman yang mati jatuh longkang atau kemalangan kerana terpaksa ‘menundukkan pandangan mereka’ jika mengikut Siti Mariah yang memetik sebahagian ayat suci al-Quran, tanpa memberi selengkapnya:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nur ayat 31 dan 32)

Sebenarnya, Pedang pun tak perasan ada iklan sebegitu hinggalah ia menjadi isu baru-baru ini, apabila ada lelaki yang bertindak tidak sopan kepada ‘kadbod’ itu. Pedang juga mengutuk perbuatan lelaki berkenaan, yang tak sepatutnya dilakukan.

Jadi Pedang pun menelitilah kadbod wanita itu. Betul seperti kata Siti Mariah. Bukannya berbogel. Maaflah Pedang mohon pada wanita yang menjadi model itu Nor Shafila Khairusalleh. Walaupun, bukan berbogel atau terlalu ketat, tetapi pakaian yang dikenakan menampakkan bentuk tubuh badan. Mungkin itu yang membuatkan lelaki-lelaki terbabit terangsang.

Untuk pengetahuan Siti Mariah dan yang sewaktu dengannya, menutup aurat bukan hanya memakai tudung kepala. Rasulullah SAW memberi amaran berkenaan satu sifat wanita yang menjadi penghalang mereka daripada mencium bau syurga. Kalaulah bau syurga pun tidak dapat dihidu, apatah lagi untuk masuk.

Imam Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka, aku belum pernah melihat mereka; iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka (sanggul/ fesyen rambut) bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh”. (Kitab Pakaian dan Perhiasan, bab Perempuan Berpakaian Tetapi Telanjang, no 3971).

Lagipun, Siti Mariah mungkin tidak sedar Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria sudah menegaskan sebarang bentuk iklan yang memaparkan wajah serta tubuh wanita adalah haram. Pengharaman itu termasuk iklan kadbod, patung plastik atau yang seumpamanya, jika memperlihatkan wajah dan tubuh wanita, ianya haram di sisi agama Islam.

Kata Pedang: Rasanya taraf agama mufti lebih tinggi daripada Ahli Parlimen. Tak semestinya belajar tinggi-tinggi di Arab bila cakap semua betul.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Haram guna iklan kadbod wajah wanita: Mufti Perak

4 thoughts on “Biarlah Pedang cauvinis, ekstremis membela Islam….

  1. Apo nak harap dongan dio…cukai arak pun mintak dikurangkan kerana kononya meringan beban orang mskin.
    Di Turki, cukai arak dan rokok berulang2 naik. Yang marah puak2 sekular dan liberal sana. Adakah Pan pun fikrah sama?

  2. MENGAPA KITA SOKONG PARTI ISLAM PAS

    Kita menyokong parti Islam PAS kerana hanya parti Islam PAS yang mempunyai dasar dan matlamat dan objektif perjuangan yang berdasarkan Islam dan PAS sedang berjuang membela agama Islam dan hak umat Islam di negara ini.

    Sebaliknya, parti-parti lain mempunyai dasar dan matlamat dan objektif berdasarkan sekularisme, liberalisme, pluralisme atau kafir harbisme dll dan mereka mempunyai kecenderungan menentang ajaran Islam dan menafikan hak umat Islam sebagai rakyat majoriti (655) di negara ini.

    Oleh sebab itu, kita akan tetap menyokong dan mengundi parti Islam PAS dan calon-calon Islam yang berwibawa dalam PRU14 dan kita akan menolak semua parti politik sekukar, liberal, kafir harbi dll.

    MENGAPA KITA SOKONG ISMA

    Kita melihat ISMA sebagai NGO Melayu-Islam yang mempunyai keazaman yang tinggi dan teguh untuk membela dan memperjuangkan agama Islam dan hak kaum Melayu sebagai umat Islam di negara ini.

    Membela dan memperjuangkan agama Islam dan hak kaum Melayu sebagai sebahagian dari umat Islam yang sedang dihina, ditindas, difitnah dan dinafikan oleh puak kafir harbi dan munafik liberal dan sekutu mereka jelas menunjukkan ISMA tidak mengamalkan assobiyah, ekstremisme atau cauvinisme !

    Yang jelas ialah musuh-musuh Islam yang terdiri dari kafir harbi dan munafik liberal dll adalah bapak hipokrit yang amat menjijikkan kerana mereka mengamalkan double standard, perkauman, assobiyah dan cauvinisisme kerana mereka sibuk campur tangan dalam hal ehwal agama Islam dan umat Islam tetapi pada masa yang sama mereka tidak membenarkan umat Islam campurtangan dalam hal ehwal agama kafir dan kaum kafir !

    Dengan menghina, memfitnah dan memburuk-burukkan agama Islam dan hak kaum Melayu , musuh-musuh Islam ini secara terang-terangan telah menghina Perlembagaan Malaysia yang melindungi hak agama Islam, Bahasa Melayu dan hak umat Islam termasuk kaum Melayu di negara ini.

    Ini bererti musuh-musuh Islam tersebut adalah pengkhianat kepada negara ini maka kerajaan sepatutnya melucutkan kerakyatan musuh Islam dan menghalau mereka keluar dari negara ini.

  3. PEMBETULAN:

    Sebaliknya, parti-parti lain mempunyai dasar dan matlamat dan objektif berdasarkan sekularisme, liberalisme, pluralisme atau kafir harbisme dll dan mereka mempunyai kecenderungan menentang ajaran Islam dan menafikan hak umat Islam sebagai rakyat majoriti (65%) di negara ini.

  4. Mu-ham-mad Bin Ra-zak

    Assalammualaikum. Ana sokong PAS bukan sebab parti. Tapi sebab ianya adalah pembela, pusat perpaduan dan peperangan yang dia perjuangkan demi Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *