Mahkamah perintah KDN fail laporan pakar berhubung penggunaan kalimah Allah

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Ramadan 1438H, Isnin – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan laporan pakar berhubung persoalan sama ada penggunaan kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang beragama Islam dalam permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland Lawrence.

Perkara itu dimaklumkan peguam Annou Xavier, yang mewakili Jill, wanita Kristian berbangsa Melanau, kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.

Annou berkata laporan pakar itu akan difailkan oleh KDN melalui Jabatan Peguam Negara berhubung persoalan sama ada penggunaan kalimah Allah hanya eksklusif kepada umat Islam atau boleh digunakan oleh penganut Kristian.

“Laporan perlu difailkan sebelum atau pada 14 Julai ini dan pihak kami perlu menunggu laporan pakar itu bagi melihat isi kandungannya,” katanya yang turut memaklumkan bahawa 19 Sept ini ditetapkan untuk pendengaran merit dalam permohonan semakan kehakiman berkenaan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mewakili KDN dan kerajaan selaku responden berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian itu bagi mengenal pasti pakar yang terbabit dalam laporan tersebut.

Jill memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Ogos 2008 supaya lapan CD yang mengandungi kalimah Allah dipulangkan kepadanya atas alasan dia berhak menyimpan, menggunakan dan mengimportnya.

CD berkenaan bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, dirampas daripada Jill, dari Sarawak, sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang pada 11 Mei 2008.

Pada 21 Julai 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan CD berkenaan dipulangkan kepadanya tetapi tidak mengeluarkan pengisytiharan seperti dipohonnya, bahawa dia berhak untuk menyimpan, menggunakan dan mengimport CD itu.

Pada 23 Jun 2015, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Kementerian Dalam Negeri memulangkan lapan CD itu selepas menolak rayuan kementerian terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan memerintahkan kementerian memulangkan CD itu dalam tempoh sebulan dari tarikh keputusan itu.

Panel itu turut memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Jill bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa dia boleh menyimpan, menggunakan dan mengimport CD itu.

— BERNAMA

One thought on “Mahkamah perintah KDN fail laporan pakar berhubung penggunaan kalimah Allah

  1. (1) Jika orang Kristian menyembah Jesus sebagai tuhan, maka orang Kristian tidak menyembah Allah sebagai tuhan mereka.

    (2) Jika orang Kristian menyembah Jesus sebagai tuhan, maka Allah adalah bukan tuhan bagi orang-orang Kristian kerana Allah bukan seorang manusia yang lemah.

    (3) Jika orang Kristian yakin bahawa tuhan adalah satu dalam 3 maka Allah adalah bukan tuhan bagi orang Kristian kerana hanya Allah Tuhan Yang Maha Esa (Tuhan yang tunggal).

    (4) Jika orang Kristian mendakwa bahawa Jesus adalah anak tuhan, maka Allah adalah bukan tuhan bagai orang Kristian kerana Allah tidak beranak atau diperanakkan ! Bolehkah seseorang itu menjadi anak dan bapa kepada dirinya sendiri?

    (5) Orang-orang Kristian dan gereja-gereja di Barat menolak Allah sebagai tuhan mereka, Ini bererti Allah bukan tuhan bagi puak Kristian. Mengapa puak Kristian Borneo menggunakan kalimah Allah sedangkan mereka tidak melakukan ibadat dalam bahasa Arab? Adakah untuk mengelirukan dan memperdayakan umat Islam?

    (6) Jika orang Kristian percaya Jesus adalah tuhan dan mendakwa Jesus mati disalib untuk menebus dosa manusia , maka tuhan Kristian telah mati disalib dan Jesus bukan Allah sebab Allah adalah Tuhan Yang Maha berkuasa dan manusia tidak boleh membunuh Allah.

    Oleh sebab-sebab di atas, orang-orang Kristian tidak layak menggunakan kalimah Allah dalam agama Kristian mereka. Kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang beragama Islam !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *