Kastam batal cadangan kenakan GST untuk 60 barang makanan


BANGI, 24 Ramadan 1438H, Isnin – Jabatan Kastam Diraja Malaysia hari ini membatalkan cadangan mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas lebih 60 barangan makanan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Subromaniam Tholasy berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Kementerian Kewangan.

“Jabatan Kastam telah merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklumbalas dan telah membuat keputusan supaya P.U. (A) 162 Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No. 2) 2017 dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, China Press memetik Subromaniam sebagai berkata lebih daripada 60 barang makanan akan dikenakan GST.

Akhbar itu melaporkan, antara barang baharu yang bakal dikenakan GST, termasuk makanan laut tertentu, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi dan rempah.

Ia turut merangkumi belut, ikan todak dan buah-buahan yang diimport seperti avokado, buah ara, anggur, ceri serta beri.

Bagaimanapun, sayur-sayuran seperti kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis, akan dikecualikan daripada senarai GST. Barang lain termasuk bihun, kuey teow, laksa dan minyak kelapa.

Kerajaan memperkenalkan GST 6% ke atas barangan dan perkhidmatan pada April 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *