Kalau betul, beri baliklah berlian: Tun M

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 24 Ramadan 1438H, Isnin – Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan semula berlian bernilai RM128 juta, didakwa dibeli menggunakan dana yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menerusi laporan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat mengaitkan isteri Perdana Menteri itu dengan pembelian barang kemas, termasuk kalung permata berlian, bernilai hampir RM128.29 juta menggunakan wang yang diseleweng daripada dana 1MDB dan melalui akaun Najib.

Menurut saman terbaharu DoJ, kalung berlian berkenaan dibeli pada 2013, hanya sebulan selepas AS$680 juga dipindahkan ke akaun peribadi Najib di Kuala Lumpur. Kerajaan Malaysia berkata, wang itu adalah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.

“Kalau ada, patut bagi baliklah diamond (berlian) itu,” kata Dr Mahathir menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook.

Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri selama 22 tahun mempersoalkan tindakan Rosmah mahu menyaman pengguna media sosial yang melemparkan tuduhan dan fitnah terhadapnya.

“Saya dengar Rosmah akan saman sesiapa sahaja yang buat tuduhan terhadap dirinya dengan jewellary yang disebut dalam laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. Kenapa dia tak cabar DoJ?

“Di Malaysia, kita dari dahulu dengar cerita berlian RM25 juta. Sampai sekarang semua orang percaya itu benar. Kalau tak benar, tunjuklah tak benar,” katanya.

Sebelum ini, firma Tetuan Noorhajran Mohd Noor yang mewakili Rosmah memberi amaran, pihaknya memberi notis sewajarnya dan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa sahaja yang membuat kenyataan fitnah, terbitan palsu atau berniat jahat terhadapnya.

Amaran tegas itu dipercayai mempunyai kaitan dengan siri reaksi di Malaysia selepas saman terbaharu DoJ dan laporan berhubung pembelian berlian itu.

One thought on “Kalau betul, beri baliklah berlian: Tun M

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *