Daftar tahun ini, 102 tahun lagi tempoh tunggu giliran haji

PAPAR, 24 Ramadan 1438H, Isnin – Individu yang baru mendaftar dengan Tabung Haji (TH) pada tahun ini untuk menunaikan ibadat haji perlu menunggu 102 tahun untuk sampai giliran ke tanah suci.

Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, berkata, ketika ini ada kira-kira 2.5 juta umat Islam di Malaysia mendaftar untuk menunaikan haji.

“ Jadi sesiapa yang mengeluarkan semua simpanan dalam Tabung Haji dan selepas itu simpan balik, mereka perlu daftar semula dan menunggu 102 tahun lagi untuk ke tanah suci,” katanya pada Majlis Ziarah Kasih Yayasan Tabung Haji dan Biro Keahlian Daftar Pengundi UMNO bagi Parlimen Kimanis di Bongawan, di sini, hari ini.

Abdul Azeez berkata, situasi itu pernah berlaku di mana seorang penyimpan berusia 62 tahun yang sudah sampai giliran untuk naik haji tiba-tiba mengeluarkan semua simpanan selepas terpengaruh dengan dakyah kononnya Tabung Haji muflis.

“Bila sedar dakyah itu tak betul dia simpan semula duit dalam Tabung Haji tetapi giliran asal untuk menunaikan haji tak dapat balik, kena tunggu hingga umur 164 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam yang sudah lama mendaftar untuk menunaikan rukun Islam kelima itu supaya terus kekal menabung dengan institusi berkenaan.

Beliau berkata, penyimpan TH tidak harus tergesa-gesa untuk mengeluarkan semua simpanan hanya dengan mendengar tohmahan pembangkang yang mendakwa institusi itu muflis.

Pada masa sama, Abdul Azeez berkata, umat Islam di negara ini perlu bersyukur dengan usaha kerajaan memastikan mereka dapat menunaikan ibadat haji termasuk mendapatkan kuota haji tambahan bagi mengurangkan tempoh menunggu.

“Tahun ini kuota haji bertambah kepada lebih 30,000 berbanding hanya 22,000 pada tahun lalu. Kerajaan juga mengekalkan subsidi haji RM9,570 seorang dan untuk tahun ini saja jumlah subsidi menunaikan haji ditanggung kerajaan ialah RM230 juta,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *