100,000 dijangka hadir ijtimak antarabangsa 20 Julai

KOTA BHARU, 24 Ramadan 1438H, Isinn – Kira-kira 100,000 peserta dijangka menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia ke-4 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini selama tiga hari, bermula 20 Julai ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ijtimak anjuran Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan Kerajaan Negeri Kelantan itu akan turut dihadiri peserta dari 17 negara di rantau Asia.

“Turut diadakan ialah seminar dakwah antarabangsa rantau Asia dan nadwah ulama antarabangsa rantau Asia,” katanya pada sidang akhbar berhubung penganjuran ijtimak tersebut di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, antara tujuan ia diadakan ialah bagi membincangkan isu besar membabitkan umat Islam termasuk menangani fahaman ekstremis seperti Daesh dan memperkenalkan Islam sebagai agama yang memperjuangkan keamanan sejagat.

Sementara itu, mengenai tindakan Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini, Tuan Ibrahim berkata PAS mengalu-alukan pelantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

“Kita berharap penggantinya mampu untuk membina semula keyakinan terhadap Felda,” katanya merujuk kepada pelantikan Tan Sri Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV berkuat kuasa serta-merta. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *