Tiga suspek JJPTR dibebas hari ini

BANGI, 22 Syaaban 1438H, Jumaat – Pengasas JJ Poor To Rich (JJPTR) Johnson Lee dan dua orang kanannya dijangka akan dibebaskan dengan jaminan polis lewat hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, ketiga-tiga mereka akan diserahkan kepada pihak polis Pulau Pinang.

“Mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis kerana reman mereka berakhir hari ini.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek kemudian akan diserahkan kepada pihak polis Pulau Pinang untuk meneruskan siasatan mengenai sindiket itu,” katanya seperti dilapor portal The Star, hari ini.

Ketiga-tiga suspek ditahan pada awal pagi Selasa lalu, dan direman sehingga semalam. Bagaimanapun, polis memohon perintah reman dilanjut selama tiga hari, namun hanya dibenarkan sehari sahaja oleh mahkamah yang berakhir hari ini.

Selasa lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah menahan tiga lelaki termasuk dalang sindiket pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR), di Petaling Jaya dekat sini, kira-kira pukul 4.30 pagi.

Menurut Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, selain dalang, pihaknya turut menahan orang kanan dan pembantu peribadi dalang sindiket pelaburan tersebut.

Malah, turut dirampas sebuah kereta jenis Honda Accord, lima unit telefon bimbit, pelbagai dokumen berkaitan skim pelaburan JJPTR, buku cek, 11 keping kad debit dan kredit pelbagai bank dan wang tunai RM20,936.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *