Seorang lagi doktor mangsa tugas 33 jam tanpa henti

Dalam kenangan

MEMANG benar, ‘on-call’ bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah perubatan. Tetapi, cuba bayangkan jika kita terpaksa bertugas selama hampir 33 jam. Bagi seorang doktor, apa lagi jika wanita, tentulah letih jika bertugas dalam tempoh berkenaan.

Doktor terpaksa berkejar ke sana sini di dalam wad hospital. Menggunakan tangan, fikiran dan berdepan kerenah pesakit. Pastinya, membuatkan badan dan otak mereka letih.

Ya! Memang benar, ajal sudah ditakdirkan. Bila tiba masa, kita tidak boleh lari daripada kematian. Tetapi, tidak ada seorang yang normal mahu menempah ajalnya. Hanya orang ‘gila’ atau sakit mental sanggup bunuh diri.

Sering kali, kematian ada punca dan bersebab. Sakit, kemalangan atau lain-lain yang menyebabkan dia mati. Tetapi, kenapa boleh sakit hingga menyebabkan kematian? Mengapa berlaku kemalangan menyebabkan kematian? Cuba kaji secara mendalam.

Pihak berkuasa sentiasa menyalahkan pemandu – lalai dan cuai menjadi alasan paling utama. Sebab itu, undang-undang yang ada sekarang hanya ditujukan kepada pemandu. Jika jalan rosak punca kemalangan maut, yang salah tetap pemandu. Yang dituduh di mahkamah tetap pemandu, bukan pihak yang menyediakan jalan itu.

Begitu juga nahas yang menyebabkan seorang doktor wanita yang dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) ke Marang, Terengganu, 9 Mei lalu, meninggal dunia.

Daripada maklumat yang Pedang terima, sebelum nahas itu, Dr Nurul Huda Ahmad ‘dipaksa’ bertugas selama hampir 33 jam. Apakah Kementerian Kesihatan – yang sentiasa berlepas tangan jika berlaku kes seperti ini – tidak mengetahui masalah sindrom keletihan selepas ‘post-call’?

Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan HUSM patut memberi jawapan yang lebih baik daripada menyalahkan doktor terbabit. Jawapan biasa yang diberi oleh Kementerian Kesihatan ialah “kami sudah nasihatkan semua doktor yang bertugas sedemikian supaya rehat atau tidur terlebih dahulu sebelum memandu pulang”.

Itulah jawapan yang biasa kita dengar. Jawapan yang turut diberikan selepas Dr Afifah Mohd Ghazi, seorang pakar bius, meninggal dunia akibat kemalangan hanya 3 kilometer dari Hospital Sungai Buloh tempat beliau bertugas, pada 9 Julai 2015, yang dalam perjalanan pulang setelah bertugas ‘on-call’ selama 32 jam.

Selepas kemalangan itu, macam-macam jawapan membela diri diberikan oleh Kementerian Kesihatan. Tidak ada rasa salah langsung bagi Kementerian Kesihatan memaksa doktor, khususnya wanita, bertugas bagai orang gila.

Tak perlu Menteri Kesihatan memberi kenyataan hanya untuk menyedapkan telinga – “kita mungkin akan kaji semula sistem on-call”. Sedangkan, hakikatnya, doktor-doktor muda masih ‘dipaksa’ melakukan tugas melebihi 24 jam tanpa henti.

Pedang pernah ‘on-call’ tanpa henti, tanpa tidur selama lebih 48 jam, iaitu ketika membuat liputan tragedi kilang bunga api Bright Sparklers di Sungai Buluh pada 1991 yang kami kenali sebagai ‘Hiroshima Sungai Buloh’. Kira-kira 26 orang maut, lebih 83 cedera, rumah sekitar kilang hampir musnah. Begitu juga ketika tragedi Highland Towers pada Disember 1993, tak lelap mata Pedang selama dua hari.

Pedang sekarang ini tak sanggup lagi bertugas tanpa henti selama 33 jam.

Walaupun, doktor-doktor yang meninggal dunia itu masih muda, tapi mereka tetap akan mengalami sindrom keletihan.

Tidak ada alasan lagi bagi Kementerian Kesihatan, sebaliknya mengaku sahaja ‘on-call’ lebih 24 jam adalah satu kesilapan, melanggar kekuatan mental dan fizikal. Arahan mesti dikeluarkan kepada semua pengarah hospital supaya ‘on-call’ hendaklah tidak lebih 24 jam.

Walaupun, pihak berkuasa berkata nahas membabitkan Dr Nurul Huda masih disiasat, Pedang meletakkan 100 peratus kesalahan kepada Kementerian Kesihatan kerana ‘memaksa’ doktor bertugas hampir 33 jam. Di luar fitrah kekuatan manusia.

Pihak berkuasa pastinya menyalahkan Dr Nurul Huda kerana memandu dalam keadaan lalai dan cuai. Pihak berkuasa tidak akan menyalahkan ‘on-call 33 jam’.

Pedang juga mengulangi saranan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) yang mencadangkan beberapa inisiatif sebagai langkah membantu kakitangan kesihatan yang ‘on-call’.

Antara yang dicadangkan ialah petugas perubatan on-call dibenar mendapat cuti sepenuhnya (post-call off), selain layak menerima elaun bertugas atas panggilan dan membenarkan tuntutan perjalanan menggunakan khidmat teksi/Uber/Grabcar setelah tamat tugas ‘on-call’

Kata Pedang: Menteri Kesihatan sudah tentu biasa bekerja hampir 33 jam. Itupun hanya ketika kempen pilihan raya. Nak pujuk pengundi untuk menjadi YB, sanggup tak tidur. Itupun bukan memandu sendiri.


Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

I-Medik syor inisiatif elak kemalangan maut babit doktor post-call berulang

2 thoughts on “Seorang lagi doktor mangsa tugas 33 jam tanpa henti

  1. Khairuddin Mohamad

    Isu human factor (work fatique) mustahil Kementerian Kesihatan tak akan peraturanya.

  2. Sudah banyak kali kita membaca atau mendengar berita tentang doktor yang diarahkan bertugas melebihi dari waktu bertugas yang sepatutnya meninggal dunia kerana kemalangan dll kerana terlalu letih, mengantuk dll.

    Tindakan pentadbir hospital dan Kementerian Kesihatan mengabaikan pelbagai risiko dengan melayan doktor seperti robot dan memaksa doktor bekerja lebih dari masa yang sepatutnya sehinggakan boleh membahayakan nyawa doktor itu sendiri dan pesakitnya adalah tindakan menindas, zalim, tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan.

    Overworked doctors pose threat to patient safety
    http://www.telegraph.co.uk

    Overworked Doctors May Jeopardize Patient Safety
    https://www.scientificamerican.com/

    Patients at risk as 90% of A&E docs overworked
    http://www.mirror.co.uk

    MP calls for inquiry into death of ‘overworked’ doctor Lauren Connelly .dailyrecord.co.uk :

    A VETERAN MP has called for an inquiry into the road death of a junior doctor as she (Dr Lauren Connelly) drove home from a night shift. Friends said she (Dr Lauren Connelly) had voiced concerns over tiredness caused by her job hours. Evidence from around the world shows that night shifts are the most dangerous for having accidents.

    Exhausted doctor died in car accident after falling asleep at the wheel thesun.co.uk/

    Kegagalan pentadbir hospital dan Kementerian Kesihatan menguruskan doktor dan kakitangan hospital dan menjaga kebajikan doktor dan kakitangan hospital dengan cekap dan berkesan seolah-olah menunjukkan pentadbir hospital dan Kementerian Kesihatan jahil tentang gelagat organisasi (organizational behavior).

    Nampaknya pentadbir hospital dan Kementerian Kesihatan seolah-olah mengamalkan budaya buli dan penindasan di hospital ! Bagaimana doktor boleh bekerja dengan cekap dan berkesan jika pentadbir hospital dan kementerian kesihatan melayan mereka seperti robot dan doktor bekerja dalam keadaan yang sangat letih dan mengantuk?

    Menteri kesihatan buat apa? Tidurkah? Adakah kepandaian menteri kesihatan hanya setakat menjadi jurucakap rejim N Modi dengan menyokong tindakan Hindraf menghalau Dr Zakir Naik kembali ke India?

    Kerajaan sepatutnya mengambil lebih ramai doktor bertugas di hospital jika ‘kekurangan doktor’ dijadikan alasan untuk memaksa doktor bekerja lebih masa sehinggakan membahayakan nyawa doktor dan pesakit mereka sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *